Search
Close this search box.

Sejak penubuhannya pada 18 Mei 1970, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bukan sahaja telah memenuhi visi para pengasasnya dalam menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk pembelajaran dan keilmuan, tetapi juga berjaya melahirkan para intelektual dan cendekiawan yang menjadi kebanggaan negara.

Bermula dengan hanya tiga fakulti, UKM telah berkembang pesat dan kini UKM mempunyai 14 fakulti, 2 pusat pengajian, 13 institut penyelidikan dan dua entiti komersial iaitu UKM Holdings Sdn. Bhd dan UKM Technology Sdn. Bhd. UKM bukan sahaja telah berkembang dari segi saiz, ia juga kini tersohor sebagai sebuah institusi penyelidikan dalam pelbagai bidang termasuk mengoperasikan pelbagai pusat penyelidikan.

Menyedari perubahan yang berlaku dalam lanskap akademik, UKM mengambil langkah mengatasinya. Salah satunya adalah melalui e-Pembelajaran bagi mempersiapkan pelajar melalui sistem pengajaran yang inovatif dan kurikulum yang berpandangan ke hadapan serta dapat memenuhi tuntutan keperluan ekonomi baru. Kedua, UKM memupuk penyelidikan yang menawarkan solusi terhadap masalah yang mendesak dan pada masa yang sama terlibat dengan masyarakat dan industri, sebagai inisiatif pembangunan lestari baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Garis Masa

18 Mei 1970

Penubuhan UKM

Cetusan pertama gagasan perlunya pendidikan tinggi untuk orang Melayu muncul dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja pada 1903. Za’ba, seorang cendekiawan, menulis berkenaan gagasan tersebut dalam akhbar Lembaga Melayu pada 1917. Gerakan pemikiran, perdebatan serta tekad golongan cendekiawan Melayu untuk menubuhkan sebuah universiti dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi bermula pada 1923 apabila Abdul Kadir Adabi, seorang lagi cendekiawan Melayu mengemukakan memorandum gagasan tersebut kepada DYMM Sultan Kelantan. Namun demikian, pemikiran dan tekad tersebut tidak dapat berkembang dan terlaksana kerana wujudnya pelbagai halangan dan rintangan oleh tekanan kolonialisme.

18 Mei 1970
1 Oktober 2006

Anugerah Kualiti Perdana Menteri

Berasaskan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan lebih empat dekad, UKM dipilih sebagai salah sebuah universiti penyelidikan di Malaysia pada 2006. Proses pemantapan bidang penyelidikan disusuli dengan pengwujudan projek tertumpu di bawah lapan (8) nic iaitu Cabaran Membina Negara-bangsa, Pembangunan Lestari Wilayah, Tenaga Keterbaharuan, Teknologi Kesihatan & Perubatan, Perubahan Iklim, Nanoteknologi & Bahan Termaju, Kepelbagaian Biologi dalam Pembangunan Bioteknologi dan ICT: Informatik Isian.

1 Oktober 2006
29 April 2010

Status Akreditasi Kendiri

UKM dianugerahkan status Institusi Swa Akreditasi pada 29 April 2010. Status swa akreditasi memantapkan lagi kekuatan universiti berprestasi tinggi di negara ini untuk membuat penilaian kendiri.

29 April 2010
26 Januari 2012

Status Autonomi

Status autonomi yang diberikan kepada UKM akan menjadikannya lebih efektif dari segi pengurusan kos dan melonjakkannya ke arah kecemerlangan.

26 Januari 2012
18 Mei 2020

Sambutan 50 Tahun

UKM merasa amat bertuah dan bersyukur kerana telah berjaya mengharungi pelbagai halangan dan rintangan selama 49 tahun penubuhannya. Kejayaan UKM pada hari ini adalah kejayaan semua pihak. Justeru, universiti menyanjung tinggi dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga UKM yang telah sama-sama berganding bahu demi meningkatkan kecemerlangan UKM. Pada tahun hadapan, 18 Mei 2020 sekali lagi UKM akan mencipta sejarah apabila menyambut ulangtahun penubuhan yang ke-50 iaitu Sambutan Jubli Emas.

18 Mei 2020

Sejarah Penubuhan UKM

Cetusan pertama gagasan perlunya pendidikan tinggi untuk orang Melayu muncul dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja pada 1903. Za’ba, seorang cendekiawan, menulis berkenaan gagasan tersebut dalam akhbar Lembaga Melayu pada 1917. Gerakan pemikiran, perdebatan serta tekad golongan cendekiawan Melayu untuk menubuhkan sebuah universiti dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi bermula pada 1923 apabila Abdul Kadir Adabi, seorang lagi cendekiawan Melayu mengemukakan memorandum gagasan tersebut kepada DYMM Sultan Kelantan. Namun demikian, pemikiran dan tekad tersebut tidak dapat berkembang dan terlaksana kerana wujudnya pelbagai halangan dan rintangan oleh tekanan kolonialisme.

Mulai 1957 hingga 1967, perjuangan untuk penubuhan universiti kebangsaan menjadi semakin bersemarak sebagai memenuhi tuntutan dan semangat kemerdekaan bangsa dan negara. Sehubungan itu, pada 1968 cendekiawan Melayu telah membentuk sebuah jawatankuasa penaja yang berperanan merancang penubuhan sebuah universiti kebangsaan. Pelbagai forum budaya dan politik diadakan bagi mendapat sokongan kerajaan dan rakyat untuk mewujudkan sebuah institusi pengajian tinggi yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam semua bidang pangajian dan keilmuan. Perjuangan yang tidak pernah luput itu mencapai kejayaan dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 18 Mei 1970 yang memulakan operasi pertamanya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Kumpulan pertama pelajar prasiswazah seramai 192 orang dan dua (2) orang pascasiswazah mula mendaftar di tiga buah fakulti, iaitu Fakulti Sains, Fakulti Sastera dan Fakulti Pengajian Islam.

Pada 1974, UKM menubuhkan UKM Kampus Sabah di Kebun Kawang, Papar. Kemudiannya nama Kebun Kawang ditukar kepada Limauan oleh Tun Datu Mustapha Datu Harun yang ketika itu sebagai Ketua Menteri Sabah. Kampus yang menempatkan Fakulti Sains dan Sumber Alam ini berpindah ke Bukit Padang, Kota Kinabalu pada 1980. Seterusnya berpindah ke Menggatal, Tuaran pada 1990 bersama Fakulti Sains Pembangunan yang asalnya ditempatkan di Kampus Induk Bangi. Dengan penubuhan Universiti Malaysia Sabah pada 1994, UKM Kampus Sabah ditutup secara rasminya pada 1996 dan kedua-dua fakulti berkenaan dipindahkan ke Kampus Induk Bangi, Selangor.

Sejak 49 tahun penubuhannya, UKM telah menghasilkan 204,857 graduan prasiswazah dan siswazah. Universiti ini terus berkembang pesat sebagai sebuah universiti awam terkehadapan yang kini mempunyai tiga belas (13) fakulti dan dua belas (12) institut kecemerlangan penyelidikan. UKM juga mempunyai entiti yang beroperasi secara komersial, iaitu UKM Holdings Sdn. Bhd. sebagai satu pendekatan dalam mengkomersialkan dan memasyarakatkan kepakaran yang dimiliki di samping menjana kewangan Universiti.

Kampus induk UKM di Bangi yang memulakan operasinya pada 1977 mempunyai keluasan 1,096.29 hektar. Kampus Induk Bangi menempatkan sembilan (9) fakulti, dan sebelas (11) institut penyelidikan. Manakala, Kampus Kuala Lumpur UKM yang terletak di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur menempatkan Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi dengan keluasan 20 hektar. Kampus Kuala Lumpur UKM yang terletak di Cheras dengan keluasan 22.3 hektar menempatkan Fakulti Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Institut Perubatan Molekul (UMBI).

Berasaskan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan lebih empat dekad, UKM dipilih sebagai salah sebuah universiti penyelidikan di Malaysia pada 2006. Bagi memastikan penyelidikan yang dilaksanakan memberi makna kepada pembangunan negara dan masyarakat, UKM telah mengambil tindakan mewujudkan strategi bagi menjuarai Cabaran Perdana Malaysia/Global. Antara tindakan yang diambil adalah mengenal pasti dan menggerakkan penyelidikan yang dapat membantu menyelesaikan tujuh (7) bidang tujahan penyelidikan cabaran perdana, iaitu Akal Budi Melayu; Islam Kontemporari; Integrasi ASEAN; Pemerkasaaan B40; Pengukuhan STEM; Malaysia Lestari; dan Malaysia Sihat Sejahtera.

UKM juga adalah penerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri 2006, memperoleh status Swa-Akreditasi pada 2010 dan diberikan status Universiti Autonomi pada Januari 2012. Penganugerahan ini adalah pengiktirafan bagi kecemerlangan UKM dalam bidang akademik dan tadbir urus.

Kini, hasrat UKM untuk menjadi sebuah universiti yang “Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan” diterjemahkan melalui Pelan Strategik UKM 2019-2021. Pelan Strategik UKM 2019-2021 yang berkonsepkan “House of Quality” menggariskan lima (5) teras utama, iaitu Penyelidikan, Akademik, Antarabangsa, Bakat dan Kewangan yang akan menjadi paksi bagi melonjakkan lagi UKM pada peringkat tempatan dan antarabangsa selaras dengan visi dan misi UKM yang bertemakan “Kualiti Teras Kebitaraan Universiti.”

Bagi memastikan roh perjuangan para pelopor UKM terus subur dan segar, kesedaran terhadap sejarah penubuhan dibugar secara berterusan. Menginsafi bahawa UKM adalah institusi harapan masyarakat, seluruh warga universiti sama ada warga kerja mahupun pelajar diimbau supaya menyelami dan memahami keperluan rakyat menerusi persoalan yang berlegar dalam kehidupan bernegara selaras dengan peranan UKM sebagai “Pendaulat Amanah Negara”. Namun, ini tidak mengehadkan jangkauan universiti terhadap segenap perkembangan, malah pergolakan yang berlaku pada peringkat antarabangsa. Universiti yang memiliki pelbagai kepakaran merentas disiplin diyakini berupaya melangkaui garis psikologikal yang membolehkannya beraksi tangkas dalam arena global serta sama-sama memberi penyelesaian permasalahan yang menghambat kehidupan sejagat.