Pakar bedah kanser kepala dan leher di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof Dr Mohd. Razif Mohamad Yunus berjaya melakukan pembedahan membuang kelenjar air liur seberat tiga kilogram dari leher seorang pesakit.
Profesor Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendakwa tumor bersaiz 20cm x 30cm itu adalah antara pengekstrakan terbesar yang pernah dilakukan oleh pasukannya.
Pesakit yang kelenjar air liurnya membesar secara perlahan-lahan sejak lapan tahun lalu, bersetuju untuk meneruskan pembedahan kerana sukar untuk dia menunaikan solat.
Pembedahan selama lima jam itu berjalan tanpa komplikasi.
“Memandangkan pembedahan ini melibatkan pesakit berusia lebih 60 tahun, pasukan itu terpaksa mengambil kira banyak faktor risiko, seperti keadaan jantung dan paru-paru pesakit.
“Tahap kepakaran yang tinggi dan instrumen yang sesuai diperlukan untuk mengelakkan kerosakan saraf muka dan saluran darah yang bersambung ke otak dan jantung,” jelasnya.
Prof Dr Mohd. Razif menggunakan alat khas yang dipanggil pisau bedah Harmonic, yang mudah digunakan, mampu mengurangkan pendarahan, memendekkan masa pembedahan, dan memastikan pemulihan cepat pesakit.
Menurutnya, ketumbuhan kelenjar air liur dikategorikan kepada dua iaitu bukan kanser (benign) dan (malignant) kanser.
“Dalam kes ini, pesakit mempunyai tumor bukan kanser. Jika tidak dirawat, ia boleh terus membesar dan menyebabkan ketidakselesaan kepada pesakit,” katanya.
Jelasnya lagi, punca sebenar pembentukan pertumbuhan kelenjar air liur masih belum dikenalpasti.
“Ia tiada kaitan dengan genetik, pemakanan atau gaya hidup individu. Masalah ini, bagaimanapun, boleh dielakkan dengan mengenali gejala semasa peringkat awal pembentukan ketumbuhan kelenjar air liur.
“Jika anda melihat sebarang benjolan luar biasa pada muka atau leher anda, dapatkan rawatan atau konsultasi dengan segera. Ini akan memastikan ketulan itu diperiksa untuk menentukan sama ada ia memerlukan rawatan lanjut,” tambahnya lagi.