PPL-UKM sebagai Penganjur Bersama bagi Karnival Langkawi Geopark 2022: Geo Walk

Anjuran: Langkawi Geopark Guide Club, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL-UKM)

Tarikh: 31 Mei 2022 – 1 Jun 2022

Tempat: UKM Kampus Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah (KTAHMS), Langkawi, Kedah

 

LANGKAWI, 31 Mei 2022 – Sekumpulan 15 orang “geoparkian” daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, NGO serta pemandu pelancong tempatan telah menyahut cabaran berjalan kaki mengelilingi Pulau Langkawi selama 24 jam, bermula pada jam 10 pagi dengan laluan jarak sejauh 90km. Penganjuran “Geo Walk” ini adalah bersempena Karnival Langkawi Geopark 2022 bagi sambutan 15 Tahun Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp). Selaku penganjur bersama, beberapa kemudahan seperti Auditorium, Bilik Seminar dan Surau telah disediakan oleh Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL-UKM) kepada para peserta yang terlibat bagi tujuan hentian rehat dan rawat. Sebagai tanda sokongan, Cik Asbiyatulaida Derahman turut terlibat sebagai peserta bagi mewakili PPL-UKM. Disamping itu, beberapa pensyarah dan pelajar daripada Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Cawangan Perlis turut membantu dari segi perkhidmatan medikal dan fisioterapi kepada para peserta. Kumpulan peserta yang diketuai oleh En. Othman Ayeb telah berjaya menghabiskan perjalanan mengelilingi Pulau Langkawi pada jam sekitar 10 pagi, 1 Jun 2022. Kemuncak acara adalah penyampaian bendera Geo Walk oleh En. Othman Ayeb kepada Yang Teramat Mulia Tunku Temenggong Kedah Brigadier Jeneral Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz sebagai tanda kejayaan aktiviti Geo Walk tersebut.

Video penggambaran aktiviti Geo Walk boleh disaksikan di laman Facebook Orang Langkawi: https://fb.watch/dpclUtaYhz/

 

 

Laporan disediakan oleh: Asbiyatulaida Derahman