Interpretif Rintis Gua Wang Buloh dan Wang Lebah Pulau Tuba, Langkawi, Kedah
Anjuran: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Friends of Langkawi Geopark (FLAG) dan Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL-UKM)
Tarikh: 23 Disember 2021
Tempat: Gua Wang Buloh dan Wang Lebah, Pulau Tuba, Langkawi, Kedah
Satu kursus asas interpretif denai gua batu kapur Wang Buloh dan Wang Lebah anjuran bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Friends of Langkawi Geopark (FLAG) dan Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL-UKM) telah dijalankan pada 23 Disember 2021, bertempat di Pulau Tuba, Langkawi, Kedah. Ianya adalah merupakan projek rintis bagi menaiktaraf pembangunan produk geo-pelancongan di kawasan Pulau Tuba, Langkawi disamping memberi pendedahan yang khusus kepada barisan renjer-renjer dan kakitangan Bahagian Pelancongan LADA. Kursus ini dimulakan dengan sesi pengenalan dan taklimat yang disampaikan oleh Dato’ Kamarulzaman Abdul Ghani (Presiden FLAG), Dr. Shamsul Khamis (Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi-UKM & Felo Bersekutu PPL-UKM) serta Dr. Azman A Rahman (Pensyarah Kanan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur – FSPU-UiTM Shah Alam). Pada peringkat pertama, para peserta yang hadir dibawa menyusuri denai ke Gua Wang Buluh sepanjang 980 meter, dimana terdapat 13 stesen hentian atau penceritaan mengenai pelbagai jenis flora, fauna dan batuan yang terdapat disepanjang laluan tersebut. Kemudian, para peserta dibawa mendaki ke Gua Wang Lebah sehingga ke hujung pelantar tinjau bagi melihat spesis lebah yang bersarang di celahan dinding batuan batu kapur. Kakitangan PPL-UKM juga turut serta membantu dan menyertai kursus tersebut.
Laporan disediakan oleh: Asbiyatulaida binti Derahman