Langkawi Geopark Bebas Plastik
Bengkel Langkawi Geopark Bebas Plastik telah diadakan di Auditorium Kampus Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) pada 27 Ogos 2015. Bengkel ini merupakan anjuran Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Langkawi, FLAG – Friends of Langkawi Geopark, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal SWCorp, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Yayasan Bank Rakyat. Seramai lebih kurang 55 peserta telah menghadiri bengkel ini yang terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan, penghulu kampung, syarikat swasta dan juga wakil dari persatuan-persatuan di Langkawi.
Pengenalan
Malaysia sedang menuju ke arah sebuah negara maju, bersih, indah dan sejahtera menjelang tahun 2020. Walau bagaimanapun, minda, sikap dan tabiat rakyat Malaysia dari aspek penjagaan kebersihan persekitaran dan pemeliharaan alam sekitar masih belum lagi mencapai tahap yang diharapkan sebagai masyarakat negara maju. Salah satu cabaran yang perlu diatasi untuk melahirkan masyarakat yang bermoral dan beretika ialah isu pembuangan sisa pepejal seperti plastik tanpa pengurusan yang sistematik. Kini, bahan yang diperbuat daripada plastik merupakan bahan yang paling banyak dan selalu digunakan oleh manusia dalam kehidupan seharian. Plastik digunakan secara meluas kerana mudah didapati dimana sahaja, ringan, ridak mudah pecah dan harganya murah. Walau bagaimanapun, plastik tetap mengundang bahaya kerana jangka hayatnya sangat panjang hingga mencapai lebih kurang 10 abad untuk hancur atau terurai. Di samping itu kadar kematian haiwan marin seperti penyu meningkat kerana haiwan ini termakan beg plastik yang terapung hanyut dipermukaan laut. Plastik-plastik yang dibuang juga boleh menyekat pengaliran air sehingga boleh mengundang banjir apabila hujan lebat. Plastik turut berisiko kerana bahan ini mengandungi bahan kimia seperti Bisphenol-A (BPA) yang boleh memudaratkan tubuh manusia. Jumlah janaan sisa di negara kita telah meningkat kepada 33000 tan sehari pada tahun 2013 kepada 19000 tan sehari pada tahun 2005.
Objektif bengkel
Untuk membincangkan kesan-kesan penggunaan plastic terhadap persekitaran dan kesihatan manusia.
Untuk memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat Langkawi untuk mengurangkan penggunaan plastik.
Untuk mendidik penduduk Langkawi terhadap larangan penggunaan plastic yang tidak perlu.
Untuk membincangkan pelan tindakan terhadap Program Langkawi Geopark Bebas Plastik.
Aturcara bengkel
8.00am – 9.00am: Pendaftaran
9.10am – 9.20am: Kata alu-aluan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi LADA, Puan Rozaina Dato’ Paduka Haji Radzi
9.20am – 9.30am: Perasmian oleh Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan LESTARI, Prof. Dr. Raihan Taha
9.30am – 11.00am: Pembentangan kertas kerja
Kertas kerja 1: Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan oleh Tuan Haji Isahak bin Murat, Yang Dipertua MPLBP
Kertas kerja 2: Perancangan dan Program Pengurusan Sisa Pepejal Langkawi Geopark oleh YBhg Datuk Ab Rahim bin Md Noor, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp
Kertas kerja 3: Pengalaman Global dan Malaysia dalam Pengurusan Sisa Pepejal oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Fariz Haji Mohamed , Felo Kanan, LESTARI
Kertas kerja 4: Kesedaran Alam Sekitar dalam Kalangan Warga Sekolah dan Tren oleh Prof. Madya Dr. Shaharudin Idrus, Felo Kanan LESTARI
Kertas kerja 5: Program Komuniti dalam Pengurusan Sisa Plastik Langkawi Geopark oleh Dato’ Dr. Kamarulzaman Abdul Ghani, Presiden FLAG – Friends of Langkawi Geopark
11.00am -12.30pm: Forum dan perbincangan
12.30pm – 1.30pm: Makan tengahari dan bersurai
Laporan oleh Ku Adriani Ku Ayob.