Lawatan Rasmi Penilaian Semula Langkawi UNESCO Global Geopark 2019

Anjuran: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL)

Tarikh: 8 Ogos 2019

Tempat: Galeri Penyelidikan dan Makmal PPL

Penilaian Semula Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) buat kali ketiga telah pun diadakan pada 7 hingga 11 Ogos 2019. Pada penilaian kali ini, dua orang pakar dari Ireland dan Iceland Utara iaitu Dr. Kirstin Lemon dan En. Sigurdur Sigursveinsson telah dilantik sebagai penilai. Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) adalah merupakan salah satu tempat atau tapak penting bagi lawatan rasmi tersebut, yang mana telah berlangsung pada 8 Ogos yang lalu. Kedua-dua pakar penilai ini telah disambut mesra oleh para penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kakitangan-kakitangan PPL. Seterusnya, mereka diberi taklimat pengenalan oleh Pengerusi, yang juga selaku Ketua Program Warisan Kepelbagaian Biologi PPL, iaitu Prof. Dr. Norhayati Ahmad. Semasa lawatan tersebut, pakar-pakar penilai ini telah diberi penerangan ringkas oleh Dr. Tanot Unjah (kajian geologi dan landskap), Dr. Sharina Abdul Halim (kajian sosio-budaya) dan Prof. Dr. Norhayati Ahmad (kajian kepelbagaian biologi). Selain itu, pakar penyelidik UKM yang turut terlibat termasuklah Prof. Dr. Che Aziz Ali, Prof. Dr. Mohd Shafieea Leman dan Prof. Madya Dr. Kamal Roslan Mohamed. Turut serta mengiringi lawatan ini adalah Tuan Haji Zepri bin Saad, iaitu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) dan para pegawai dari Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). Beberapa tapak penting yang juga dilawati termasuklah Sekolah Kebangsaan Temoyong, Tapak Batu Jatuh Tanjung Mali, Kereta Kabel Langkawi, Kuari Kilang Simen, Discovery Centre LUGGp, Puncak Gunung Raya, Nasi Dagang Pak Malau, Kompleks Kraftangan Langkawi dan Pengkalan Jeti Kubang Badak. Lawatan diakhiri dengan hidangan jamuan ringan beberapa kuih tradisional Langkawi seperti bahulu dan peneram.

Mendengar taklimat pengenalan yang disampaikan oleh Prof. Dr. Norhayati Ahmad.

Penerangan ringkas oleh Dr. Tanot Unjah berkenaan kajian geologi dan landskap di Langkawi.

Penerangan ringkas oleh Dr. Sharina Abdul Halim berkenaan kajian sosio-budaya komuniti di Langkawi.

Penerangan ringkas oleh Prof. Dr. Norhayati Ahmad berkenaan kajian kepelbagaian biologi di Langkawi.

Lawatan di Muzium Zoologi PPL.

Lawatan di Makmal Rokarium PPL.

Laporan oleh Asbiyatulaida binti Derahman.