Program Geoteacher
Langkawi, 21 Jun 2014 : Bertempat di Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL), Pantai Kok telah berlangsung satu Program Geo-Teacher anjuran Bahagian Geopark LADA, Pejabat Pendidikan Langkawi, Pusat Penyelidikan Langkawi, UKM dan sekolah-sekolah di Langkawi. Seramai 30 peserta daripada guru sekolah dan sekretariat telah menghadiri program ini.
Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran guru-guru di Langkawi berkenaan dengan konsep Langkawi Geopark. Selain itu juga, tujuan utama program ini adalah mewujudkan kerjasama di antara pihak sekolah dan Bahagian Geopark LADA untuk sama-sama membantu merancang program yang dapat meningkatkan kesedaran para pelajar Langkawi terhadap kepentingan dan kesedaran mengenai keperluan menjaga Langkawi sebagai sebuah Geopark.
Di antara pengisian program yang telah dilakukan adalah guru-guru diberi taklimat mengenai pengenalan Langkawi Geopark, pencapaian dan cabaran yang dihadapi bagi memartabatkan Langkawi Geopark serta taklimat Program perancangan pendidikan awam untuk sekolah-sekolah di Langkawi yang telah disampaikan oleh Cik Rasanubari Asmah Rahmah Abd Hamid dan En. Khairul Nizam bin Abd Ghalim, pegawai dari Bahagian Geopark LADA,. Selain itu, Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) turut diperkenalkan oleh Cik Ku Adriani binti Ku Ayob sebagai sebuah pusat ilmu atau pusat rujukan berkenaan dengan Langkawi Geopark.
Pada sebelah petang pula, guru-guru telah dibawa ke Kilim untuk sesi lawatan dan pengenalan kepada paya bakau, gua kelawar dan sangkar ikan bagi merasai pengalaman sebenar supaya dapat dijadikan sumber rujukan untuk modul-modul yang bakal diterbitkan untuk pelajar sekolah pada masa akan datang.
Artikel disediakan oleh LADA.