Program Penjelajahan Ekosistem bersama Kolej Komuniti Seberang Jaya
Anjuran: Kolej Komuniti Seberang Jaya (KKSJ) dan Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL)
Tarikh: 20 – 22 Disember 2019
Tempat: PPL dan sekitar Pulau Langkawi, Kedah
Program Penjelajahan Ekosistem (PPE) bersama Kolej Komuniti Seberang Jaya (KKSJ) Pulau Pinang telah diadakan di Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) dan kawasan sekitar Pulau Langkawi pada 20 hingga 22 Disember 2019 yang lalu. Program yang bertujuan memupuk kecintaan terhadap alam sekitar serta pendedahan kepada konsep lestari dalam pembangunan geopark ini dikendalikan oleh Dato’ Shaharuddin Mohamad Ismail (Felo Penyelidik Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, LESTARI) dan Nik Mohd Noor Faizul Md Saad (Pegawai Penyelidik Kanan PPL). Para peserta yang hadir diberikan penerangan khusus tentang ekosistem hutan dan air, serta penglibatan secara langsung dalam aktiviti lapangan. Selain daripada lawatan ke Galeri Penyelidikan dan makmal-makmal Biologi dan Geologi di PPL, para peserta juga diberi peluang mengenali kawasan-kawasan georimba yang terdapat di Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) iaitu Machinchang Cambrian Geoforest Park (iaitu Air Terjun Telaga Tujuh) dan Kilim Karst Geoforest Park, serta lawatan ke Langkawi Geopark Discovery Centre (LGDC). Program ini turut dibantu oleh beberapa pegawai dan kakitangan PPL serta pembantu penyelidik LESTARI.
Laporan oleh Asbiyatulaida binti Derahman.