FSSK UKM Meterai Kerjasama Dengan FSSK UMS

 

19 Feb 2022 – Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UKM melalui Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS) hari ini melebarkan kerjasama di dalam bidang kajian geoplitik dan keselamatan sempadan antarabangsa Malaysia bersama dengan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS). Majlis menandatangani surat Hasrat memorandum persefahaman berkenaan telah berlangsung di Hotel Promenade Kota Kinabalu. Dalam majlis berkenaan, FSSK UKM telah diwakili oleh Dekan, Prof. Dr. Hjh Hazita Azman manakala FSSK UMS diwakili Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Syahruddin Ahmad.

Melalui kerjasama yang terjalin ini, kedua-dua pihak akan menumpukan kepada aspek program penyelidikan dan akademik, pembangunan bahan-bahan saintifik, penerbitan dan maklumat serta penganjuran seminar, bengkel, persidangan dan aktiviti-aktiviti intelektual yang berkaitan.

Kerjasama bersama dengan FSSK, UMS tercetus selepas beberapa siri perbincangan di antara ahli penyelidik Elektorial Geospatial dengan ahli penyelidik fakulti berkenaan bagi menyediakan penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi. Secara dasarnya kedua-dua pihak menyedari bahawa satu kerjasama di antara kedua-dua pihak perlu diwujudkan bagi mempertingkatkan potensi kedua-dua pihak selain memperatkan lagi jaringan antara keduanya dalam bentuk perkongsian data, sumber manusia serta penyelidikan rentas disiplin.

Melalui kerjasama ini juga diharapkan agar akan dapat membuka peluang kepada penyelidikan bersifat translasional dan berimpak tinggi bersama industri dan kerajaan negeri dan juga mencetus kepada perkongsian bank data terkini yang mampu membawa kepada penerbitan artikel berimpak tinggi serta melakukan penjimatan dari segi kewangan dan sumber manusia. Di samping itu juga, turut diharapkan agar kerjasama ini bakal membuka ruang kepada pemerolehan geran‐geran penyelidikan industri.