Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) telah dijemput sebagai pembentang kertas kerja di Seminar Kebangsaan Pengurusan Mampan Tasik Dan Wetland sempena sambutan Hari Wetland Sedunia pada 7-9 Februari yang lepas bertempat di Dewan Seri Melati, Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Seminar Kebangsaan pada tahun ini mengetengahkan aspek perkhidmatan ekosistem badan air dan persekitaran yang memberi manfaat sama ada dari aspek ekonomi kawasan sekitaran, pembangunan mampan, eko-pelancongan dan juga tapak konservasi mahupun penyelidikan. Turut dibincangkan juga pelaksanaan usaha serta inisiatif berkaitan untuk memelihara / memulihara kawasan hijau, pembinaan wetland buatan mahupun aplikasi Nature-based solutions (NbS) oleh para pemaju dalam pembangunan pelbagai projek berskala mega samaada perumahan mahupun komersial di Malaysia.
Seminar ini dirasmikan oleh YBhg. Dato’ TPr. Fadlun Mak Ujud, Presiden Perbadanan Putrajaya dan diserikan lagi dengan persembahan kebudayaan daripada anak-anak Loka Tari Anak Gumum dari Sekolah Kluster Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Tasik Cini.
Pn. Nur Amelia mewakili Pusat Penyelidikan Tasik Chini dengan kertas kerja bertajuk “Kajian Kes Edu-Ekopelancongan di Tapak Rizab Biosfera UNESCO Tasik Chini oleh UKM dari Tahun 2019 – 2022”. Sebanyak 24 kertas kerja telah dibentang sepanjang 3 hari seminar ini. Seminar ini ditamatkan pada hari ketiga dengan program Eksplorasi Saintifik Wetland Putrajaya di Taman Wetland Putrajaya.