Program Kepimpinan Bakat Perantis
Program Kepimpinan Bakat Perantis berlangsung selama dua hari pada 28 – 29 September 2022. Program ini merupakan program awal bagi pentadbir universiti untuk meningkatkan daya kepimpinan melalui kefahaman tadbir urus universiti.
Hari pertama program berlangsung, Prof. Madya Dr. Mohd Suhaimi Mohamad, Pengarah Profesional-UKM telah memperkenalkan kepada peserta Model Kompetensi Kepimpinan yang boleh membangunkan kelompok bakat berkarisma dan berpengetahuan serta mempunyai kompetensi kepimpinan.
Sesi 1: Memimpin Diri, Agenda Setiap Hari telah dikendalikan oleh Tuan Hj. Syamsul Amri Abd Razak manakala Sesi 2: Kepimpinan Pasukan Hebat telah dikendalikan oleh Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, Pengarah HEP-UKM. Peserta dibahagikan kepada kumpulan serta perlu menyelesaikan permainan uji minda sebagai analogi dalam memahami kepimpinan universiti.
Hari kedua program Kepimpinan Bakat Perantis diteruskan dengan Sesi 3: Meraikan Perbezaan, Menyantuni Persamaan dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali, Pengarah Pusat Perumahan Pelajar. Peserta telah diterapkan kawalan fokus minda untuk berfikir dan bertindak positif dengan persekitaran yang penuh dengan pelbagai cabaran. Tugasan lakonan kumpulan telah dilaksanakan dengan baik oleh semua peserta.
Sesi 4: UKM Unggul ke Tangga 100 dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Rizal Palil, Timbalan Pengarah Eksekutif Pusat Strategi UKM. Setiap peserta perlu memahami serta menjiwai aspirasi universiti untuk memacu kecemerlangan sesebuah organisasi.
Di akhir program ini, Prof. Madya Dr. Mohd Suhaimi Mohamad, Pengarah Profesional-UKM telah menyampaikan Sijil Kepimpinan Bakat Perantis kepada semua penceramah dan peserta yang terlibat. Profesional-UKM merakamkan setinggi terima kasih kepada penceramah dan peserta di atas kerjasama dan komitmen yang tinggi sepanjang program ini berlangsung.
Bakat Perantis merupakan program awalan untuk mencungkil dan mengilap kelompok bakat kepimpinan universiti yang bakal menerajui universiti di masa hadapan. Tahniah dan selamat maju jaya kepada semua peserta.