Majlis Penghargaan Kompetensi UKM

Majlis Penghargaan Kompetensi UKM telah diadakan pada 2 Februari 2023 bertempat di Dewan Persidangan FST. Majlis Penghargaan ini telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. ChM. Dr. Mohammad Kassim, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Bakat UKM.

Majlis Penghargaan bertujuan meraikan Ahli Jawatankuasa Pembangun Kompetensi Generik dan Kepimpinan, Ahli Jawatankuasa Penilai Kompetensi Generik dan Kepimpinan serta urusetia yang terlibat dalam menjayakan Pembangunan Kompetensi UKM.

YBhg. Prof. ChM. Dr. Mohammad Kassim turut memaklumkan bahawa impak pengurusan bakat berasaskan kompetensi mampu mengekalkan UKM sebagai Universiti Penyelidikan di Malaysia yang bukan sahaja kepada warga kerja UKM malahan boleh menjadikan pelajar UKM sebagai bakat baharu masa hadapan dalam mengenalpasti bakat pelajar berpotensi untuk melatih mereka menjadi pemimpin masa hadapan.

Insya Allah pada tahun 2023, Profesional-UKM akan berusaha lebih gigih dalam merealisasikan Kamus Kompetensi Fungsian bagi semua skim perkhidmatan serta instrumen penilaian kompetensi yang mengukur tahap kemahiran dan kecekapan warga UKM.

Profesional-UKM merakamkan setinggi terima kasih kepada Pengurusan Tertinggi UKM, Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Bakat, Jawatankuasa Kerja Pembangunan Bakat (Akademik), Jawatankuasa Kerja Pembangunan Bakat (Pengurusan & Profesional dan Pelaksana), Jawatankuasa Pembangun Kamus Kompetensi Generik dan Kamus Kompetensi Kepimpinan, Jawatankuasa Penilai Kamus Kompetensi Generik dan Kompetensi Kepimpinan, Persatuan Kakitangan UKM iaitu PKAUKM, PERTADI, KESUKMA, barisan urusetia khususnya Penerbit UKM dan Pusat Teknologi Maklumat di atas segala jasa dan komitmen diberikan sepanjang proses Pembangunan Kompetensi dilaksanakan.

Naratif WATAN alun bergema,
Pendaulat Amanah perjuangan kami,
Pengekalan bakat agenda utama,
UKM berwibawa Malaysia MADANI.