Program Kesedaran Pelaksanaan Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi Siri 2/2023
Profesional-UKM telah dijemput untuk berkongsi pengalaman dalam Program Kesedaran Pelaksanaan Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi Siri 2/2023 pada 28 Februari 2023 secara dalam talian. Program anjuran Bahagian Kepimpinan & Pembangunan Bakat (BKEPT), Jabatan Pendaftar, Universiti Malaysia Sabah (UMS) disertai hampir 250 orang warga UMS dan Universiti Awam yang lain.
Sesi perkongsian yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Suhaimi Mohamad, Pengarah Profesional-UKM menjurus kepada tajuk “Pementoran dan Kompetensi Berdasarkan Amalan Universiti Kebangsaan Malaysia”. Pengalaman UKM dalam membangunkan kompetensi bermula pada akhir tahun 2021 dengan mengadakan lawatan penanda aras, sesi libat urus, bengkel pembangunan kompetensi, bengkel penilaian kompetensi sehingga ke Majlis Pelancaran Kompetensi UKM. Bagi menghargai jasa bakti yang dicurahkan oleh warga UKM maka Majlis Penghargaan Kompetensi telah diadakan melibatkan Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Bakat, Jawatankuasa Kerja Pembangunan Bakat, Jawatankuasa Pembangun & Penilai Kompetensi UKM serta persatuan kakitangan iaitu PKAUKM, PERTADI dan KESUKMA.
Profesional-UKM turut berkongsi pelaksanaan program pementoran iaitu Program Pembayangan Pemimpin yang telah berjaya dilaksanakan setiap tahun di UKM.
Setinggi-tinggi terima kasih kepada Bahagian Kepimpinan & Pembangunan Bakat (BKEPT), Jabatan Pendaftar, UMS kerana sudi menjemput Profesional-UKM untuk menjayakan salah satu agenda program pengurusan bakat berasaskan kompetensi di UMS. Tahniah dan syabas kepada urusetia atas penganjuran siri ini.