Kolokium AKEPT 2022: A TanDEM 2022
Kolokium AKEPT 2022: A TanDEM 2022 telah diadakan pada 15 – 17 November 2022 yang dianjurkan oleh AKEPT bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Kolokium ini merupakan platform terbaik dalam perkongsian amalan pengurusan bakat universiti awam. Kolokium ini juga ruang pengiktirafan bagi menghargai usaha dan sumbangan unit pengurusan bakat universiti awam.
Hari pertama kolokium telah dimulakan dengan Ucaptama disampaikan oleh Prof. Emerita Datuk Dr. Asma Ismail dari Akademi Sains Malaysia dengan tajuk “Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi: Meneroka Potensi Masa Hadapan”.
Sesi perkongsian juga turut dilaksanakan dengan menampilkan Dr. Bugs Tan dari Vitrox Corp Bhd, Puan Adilan Junid dari Microsoft Malaysia dan Encik Simon Benjamin dari Malaysia Institute of Human Resource Management. Forum yang bertajuk “Amalan Pengurusan Baharu Abad ke-21: Melihat Kecekapan Generasi Z” turut dibahaskan secara tuntas oleh ahli panel.
Profesional-UKM telah menyertai Pertandingan Picing sempena Kolokium AKEPT 2022: A TanDEM 2022 dengan tajuk “Anjakan Paradigma Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi 2022 – 2025 Universiti Kebangsaan Malaysia”. Picing telah disampaikan oleh Pengarah Profesional-UKM, Prof. Madya Dr. Mohd Suhaimi Mohamad.
Alhamdulillah dan syukur kerana Profesional-UKM telah diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga. Tahniah kepada seluruh warga Profesional-UKM atas kejayaan dan pengiktirafan ini.
Jutaan terima kasih kepada penganjur AKEPT, UMS, para juri serta rakan-rakan universiti awam yang terlibat dalam pertandingan ini. Profesional-UKM ke arah melahirkan warga universiti yang kompeten dan berprestasi tinggi.