Program Kepimpinan Bakat Karisma

Program Kepimpinan Bakat Karisma berlangsung selama dua hari pada 6 – 7 Disember 2022. Program ini merupakan program kepimpinan yang merangkumi pemerkasaan, tadbir urus dan kepimpinan dalam membina karakteristik kepimpinan.

Hari pertama program berlangsung, Prof. Madya Dr. Mohd Suhaimi Mohamad, Pengarah Profesional-UKM telah memperkenalkan Kompetensi Kepimpinan dan Personaliti Pemimpin yang boleh dihubungkaitkan dalam membentuk kelompok bakat berkarisma dan berpengetahuan serta berkemahiran memimpin pelbagai generasi.

Slot Merungkai Persepsi, Mengubah Situasi telah dikendalikan Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr. Mohd Marzuki Mustafa menekankan aspek kepimpinan organisasi. Manakala slot Komunikasi Kepimpinan telah dikendalikan oleh Prof. Datin Dr. Norizan Abdul Razak yang menekankan aspek komunikasi dalam memperkasakan seorang pemimpin. Peserta dibahagikan kepada kumpulan dan perlu menyelesaikan tugasan berkumpulan.

Hari kedua program Kepimpinan Bakat Karisma dimulakan dengan slot Advokasi Kepimpinan Berintegriti yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail. Peserta telah diberikan permainan Kembara Integriti bagi memahami dengan lebih mendalam konsep integriti iaitu nilai dan etika.

Kemudian slot Kepimpinan di Era Digital telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Suhaimi Mohamad dengan memberikan penekanan kepada cabaran, kemahiran serta kompetensi yang diperlukan oleh pemimpin masa hadapan. Permainan uji minda berkumpulan turut diselitkan sebagai analogi memahami konsep kepimpinan dan semangat berpasukan.

Slot UKM Universiti Terunggul Dunia dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Chua Kien Hui, Timbalan Pengarah Eksekutif Pusat Strategi UKM. Setiap peserta perlu memahami serta menjiwai strategi universiti untuk mencapai kecemerlangan dan penarafan dunia.

Di akhir program ini, Prof. Madya Dr. Mohd Suhaimi Mohamad, Pengarah Profesional-UKM telah menyampaikan Sijil Kepimpinan Bakat Karisma kepada semua peserta yang terlibat. Profesional-UKM merakamkan setinggi terima kasih kepada penceramah dan peserta di atas kerjasama dan komitmen yang tinggi sepanjang program ini berlangsung.

Tahniah dan selamat maju jaya kepada semua peserta. Anda adalah kelompok bakat kepimpinan universiti.
Anda Hebat, UKM Hebat!