Program Kepimpinan Bakat Perantis
Pusat Pembangunan Profesional dan Kepimpinan UKM (Profesional-UKM) telah berjaya menganjurkan Program Kepimpinan Bakat Perantis selama 2 hari (26-27 Februari 2024) yang dihadiri oleh seramai 34 orang peserta iaitu dari kelompok pentadbir universiti yang terdiri daripada Ketua-Ketua Unit, Ketua/Penyelaras Program dalam kalangan kakitangan Akademik dan P&P.
Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin telah merasmikan Program Kepimpinan Bakat Perantis Siri 1 bagi tahun 2024 pada hari pertama program dijalankan.
Program anjuran Unit Pelan Penggantian dan Kepimpinan, Pusat Pembangunan Profesional dan Kepimpinan ini bertujuan meningkatkan daya kepimpinan awal pentadbir universiti melalui kefahaman tadbir urus, pembangunan bakat kepimpinan berkarisma, asas kompetensi kepimpinan serta penilaian tahap kompetensi kepimpinan universiti.
Hadir sama, Pengarah Profesional-UKM, Prof. Madya Dr. Mohd Suhaimi Mohamad; Timbalan Pengarah (Penilaian dan Pemprofilan) Professional-UKM, Prof. Madya Dr. Noor Alaudin Abdul Wahab; Timbalan Pendaftar Kanan, Tuan Haji Zanudin Mohd Daud; dan Timbalan Pengarah (Pembangunan Kompetensi) Professional-UKM, Puan Zoraini Ibrahim.