FSK UKM Bakal Buat Saringan Penglihatan kepada 160,000 Orang bermasalah Intelektual
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
CHERAS, 24 Oktober 2018 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Program Optometri dan Sains Penglihatan akan membuat ujian saringan penglihatan kepada 160,000 orang yang mengalami masalah intelektual dan telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Dekan FSK, Prof Dr Bariah Mohd Ali berkata, pemeriksaan itu akan dibuat secara berkala melibatkan staf dan pelajar dari fakulti tersebut.
“Jumlah itu mungkin akan bertambah dari setahun ke setahun. Jadi kita akan mulakan pemeriksaan itu di Selangor dahulu,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Pesefahaman (MoU) antara UKM dengan Special Olympics Malaysia (SOM), di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, pemeriksaan mata tersebut bukan hanya tertumpu kepada kanak-kanak sahaja, tetapi turut melibatkan orang dewasa.
“Asalkan mereka telah berdaftar di JKM, kita akan buat pemeriksaan tersebut, walaupun ada antara mereka bukan di bawah SOM,” jelasnya.
Mengulas tentang MoU yang ditandatangi bersama SOM, Prof Bariah berkata, fakulti akan membantu SOM dari segi pemeriksaan mata untuk semua atlet yang mempunyai masalah intelektual.
“Kita akan bagi intervensi yang sesuai untuk mereka supaya mereka dapat kualiti hidup yang lebih baik..
Perancangan yang kita buat bukan sahaja untuk pemeriksaan mata sahaja, tetapi kita akan libatkan sektor-sektor kesihatan lain seperti pendengaran dan pertuturan. Itu yang telah dibincangkan bersama SOM,” jelasnya.
Katanya, projek itu lebih kepada menyediakan perkihdmatan, dan UKM akan melibatkan pelajar-pelajar untuk memberi pengalaman.
“Mereka (pelajar) dapat belajar macam mana menangani masalah pesakit yang mempunyai intelektual disability. Dari pihak FSK UKM, kita nak kan pengalaman itu supaya pelajar kita lebih terdedah dengan latihan tersebut,” ujarnya.
Melalui pemeteraian MoU itu, kerjasama dikembangkan dengan memberi perkhidmatan kepakaran mata sebanyak dua kali setahun untuk Program Opening Eyes anjuran SOM. Pelajar program Optometri dan Sains Penglihatan akan didedahkan dengan modul perkhidmatan mata mengikut kreterian SOM dan mengadakan aktiviti penyelidikan bersama.