UKM Jalin Kerjasama dengan Prasat Neurological Institute Bangkok, Thailand dalam bidang Neurologi

Oleh : Hafizah Mohamad Isa
Foto : Mohd Faizor Hassan

CHERAS, 25 Mac 2019 – Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Prasat Neurological Institute (PNI), Bangkok Thailand pada petang ini di Sukmaria, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM).

UKM diwakili oleh YM. Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali, Dekan Fakulti Perubatan UKM sementara itu, pihak PNI diwakili oleh Dr. Samsak AKKSILP, M.D iaitu Deputy General of Medical Services (DMS) Ministry of Public Health Institute, Thailand.

Usahasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) ini adalah bertujuan untuk membuka ruang kepada pakar-pakar neurologi HCTM dan PNI untuk saling berkerjasama, berkongsi pengalaman serta dapat meningkatkan latihan dalam perawatan strok dan epilepsi di Malaysia.

Kolaborasi penyelidikan dan latihan kepakaran antara Fakulti Perubatan dan HCTM UKM dengan PNI dalam bidang neurologi seperti strok dan epilepsi telah terjalin sejak tahun 2018. Kedua-dua pusat ini telah mempelopori bidang neurologi di Malaysia dan Thailand.

HCTM adalah merupakan pusat kepakaran rawatan strok thrombolisis dan pembedahan epilepsi yang pertama di Malaysia. Sehingga kini lebih daripada 500 pesakit setiap tahun telah dirawat dan lebih 200 pesakit telah mendapat rawatan strok thrombolisis. HCTM mempunyai pakar perubatan neurologi dan pasukan rawatan strok yang berpengalaman manakala Prasat Neurological Institute, Thailand merupakan pusat neurologi tertua di Asia Tenggara.

Turut bersama menyaksikan majlis tersebut adalah Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan), Dr. Pairat Saengdith, Pengarah PNI, Thailand dan deligasi serta pengawai- pegawai kanan Fakulti Perubatan dan HCTM UKM.