Kerjasama Kampus Kuala Lumpur UKM dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Menjayakan Program BTR Sihat

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim
Foto : Faizor Hj Hassan

Cheras, 28 April 2019 – Kampus Kuala Lumpur UKM melalui Pusat Jaringan, Komunikasi Korporat, dan Teknopolis Kesihatan telah bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWPKL) dalam menjayakan Program Bandar Tun Razak Sihat (BTR Sihat). Program anjuran MPPWPKL adalah bersempena dengan Hari Kesihatan Sedunia yang jatuh pada setiap 7 April.

Kampus Kuala Lumpur UKM membawa pasukan saringan kesihatan untuk memberi perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan saringan payudara dan ceramah kesihatan. Aktiviti saringan ini digerakkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan HCTM dan barisan pelajar perubatan UKM. Manakala sesi ceramah berkaitan kesihatan, stress, dan kerjaya disampaikan oleh Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh dan Dr. Shazli Ezzat Hj. Ghazali daripada UKM. Selain aktiviti saringan kesihatan dan ceramah, pelbagai program lain juga disusun seperti aktiviti senaman, pertandingan mewarna kanak-kanak dan pameran gerai.

Majlis dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Kamaruddin Jaafar Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak. Turut serta dalam majlis YBhg. Prof. Dr. Sabarul Afian Mokhtar, wakil Pro Naib Canselor UKM, dan YBrs. Encik Azman Abidin Pengerusi Program merangkap Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.