Program Bubur Lambuk Perdana Peringkat Kampus Kuala Lumpur UKM

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim
Foto : Hafizah Mohamad Isa

CHERAS, 24 Mei 2019 – Majlis Penyerahan Bubur Lambuk Perdana Kampus Kuala Lumpur dan Sesi Serahan Sumbangan ‘Meal For A Friend’ telah berjaya diadakan di Ruang Legar Cafeteria berdekatan Asrama Jururawat, HCTM, Kampus Cheras.

Program bubur lambuk ini diadakan secara tahunan, dan tahun ini merupakan yang kedua anjuran Kampus Kuala Lumpur UKM. Sebanyak 7 periuk bubur lambuk berjaya dimasak, hasil kerjasama warga KKL yang bertungkus lumus menyiapkan bahan dan memasak sejak malam tadi. Bubur lambuk yang telah siap dimasak dan dibungkus telah diagihkan kepada semua kakitangan di Kampus Cheras dan Kampus Jalan Raja Muda.

Program ini turut menyelitkan sesi serahan sumbangan mock-cheque ‘Program Meal For A Friend’. Sebanyak RM17, 665 hasil sumbangan pensyarah, individu dan orang luar telah berjaya dikumpul untuk program ini. Program usaha sama Sekretariat Jaringan dan Penjanaan, Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan HCTM dan Café Azalea ini akan memberi manfaat kepada 54 orang kakitangan yang kurang berkemampuan yang telah dikenalpasti.

Majlis telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, wakil Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur.  Turut hadir dalam majlis, Prof. Dr. Sabarul Afian Mokhtar, Timbalan Pengarah Jaringan, Komunikasi Korporat dan Teknopolis Kesihatan, dan Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali, Dekan Fakulti Perubatan,  timbalan-timbalan Dekan Fakulti Perubatan, ketua-ketua jabatan, wakil pengurusan Café Azalea dan kakitangan Kampus Kuala Lumpur.