KAMPUS KUALA LUMPUR

 Universiti Kebangsaan Malaysia

 

PNCKKL

KATA ALUAN
PRO NAIB CANSELOR (KAMPUS KUALA LUMPUR)
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Selamat datang ke laman sesawang rasmi Kampus Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada anda semua kerana meluangkan masa untuk melayari laman sesawang ini.

Kampus Kuala Lumpur UKM berperanan penting sebagai pusat kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan, dan perkhidmatan profesional, khususnya dalam bidang sains kesihatan dan perubatan. Dengan adanya dua (2) buah hospital pengajar, iaitu Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) dan Hospital Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK), kami komited menyediakan perkhidmatan perubatan dan pendidikan yang terbaik kepada masyarakat.

Kami juga memiliki empat (4) fakulti utama di kampus ini, iaitu Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Farmasi, dan Fakulti Sains Kesihatan, yang semuanya berkomitmen untuk melahirkan graduan yang kompeten dan profesional. Selain itu, Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UKM Medical Molecular Biology Institute atau UMBI) yang berpusat di kampus ini, menerajui penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang genomik, kanser, penyakit genetik, sains molekul dan lain-lain yang memberi sumbangan besar kepada kemajuan bidang perubatan dan kesihatan.

Pada masa akan datang, terdapat perancangan untuk membina sebuah Teknopolis Kesihatan UKM, sebagai sebahagian daripada visi kami untuk menjadikan kampus ini sebagai salah satu hab pemacu ekonomi dalam sektor kesihatan. Ini adalah selaras dengan usaha kami untuk memperkukuhkan kedudukan UKM sebagai institusi yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara melalui inovasi dan penyelidikan yang mampan.

Saya berharap laman sesawang ini akan menjadi platform yang efektif untuk menyebarkan ilmu pengetahuan dan memperkukuhkan hubungan antara universiti dan masyarakat. Saya juga berharap anda mendapat manfaat daripada maklumat yang dikongsikan di laman sesawang ini dan terus menyokong usaha kami dalam memperkukuhkan kedudukan UKM sebagai institusi pendidikan tinggi terkemuka di peringkat global.

Terima kasih.

Profesor Dato’ Dr. Hanafiah bin Harunarashid
Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur)
Universiti Kebangsaan Malaysia