Minggu Penyelidikan Perubatan dan Kesihatan Ke-21

Oleh: Noorlaily Abdul Rahim
Foto: Muhammad Shahrul Izwan Halim

CHERAS, 23 Julai 2019 – Sekretariat Penyelidikan Perubatan dan Inovasi, Fakulti Perubatan UKM telah menganjurkan Minggu Penyelidikan Perubatan dan Kesihatan Ke-21 pada 22 hingga 26 Julai 2019 bertempat di Dewan Kuliah 2, Bangunan Praklinikal Fakulti Perubatan UKM. Bertemakan ‘Enhancing Translational Research for Healthcare Empowerment’, program ini sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan pencapaian penyelidikan dan meningkatkan jaringan antara penyelidik-penyelidik luar dan dalam UKM serta memberi pendedahan kepada pelajar Sarjana khasnya mengenai keterampilan penyelidikan, prasarana, dan suasana penyelidikan di fakulti.

Seramai 163 peserta yang terdiri daripada pelajar, pegawai perubatan dan pensyarah telah menyertai program-program yang telah disusun sepanjang minggu penyelidikan. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan ialah Bengkel Epidemiologi Klinikal dan Kaedah Penyelidikan, Pertandingan Pembentangan Poster dan Bengkel SPSS. Pengerusi Jawatankuasa Minggu Penyelidikan, Prof. Dr. Marina Mat Baki berkata program tahunan ini merupakan ‘research culture’ yang perlu diteruskan kerana UKM adalah salah satu Universiti Penyelidikan di Malaysia dan acara ini bertepatan dengan pelan strategik UKM 2019-2021 di mana kualiti penerbitan hasil penyelidikan perlu diberi perhatian.

Majlis dirasmikan oleh Prof. Dato’ Ir. Dr. Hj. Abdul Wahab Mohamed, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan & Inovasi, mewakil Naib Canselor UKM. Berucap dalam majlis beliau berharap peserta akan manfaatkan semua ilmu yang diperoleh agar dapat menyumbang kepada perkembangan kaedah rawatan dalam bidang perubatan. Selain itu, beliau turut menggalakkan ahli akademik senior menumpukan usaha untuk mendapatkan geran antarabangsa manakala penyelidik muda digalakkan untuk memohon dana research university (RU) bagi tujuan penyelidikan. Prof. Dato’ Dr. Ruszymah Hj. Idrus, Jabatan Fisiologi telah dinobatkan sebagai Tokoh Penyelidik 2019 sempena Minggu Penyelidikan Perubatan dan Kesihatan Ke-21, Fakulti Perubatan UKM.