Kampus Kuala Lumpur UKM Anjurkan Program Bubur Lambuk Perdana 2018
CHERAS 25 Mei 2018 – Pusat Jaringan, Komunikasi Korporat dan Teknopolis Kesihatan, Kampus Kuala Lumpur UKM telah menganjurkan Program Bubur Lambuk Perdana yang bermula pada 24 hingga 25 Mei 2018 di Perkarangan Luar, Auditorium, Kampus Kuala Lumpur.
Acara tahunan ini telah diadakan sejak sembilan tahun yang lalu dan ini adalah tahun ke sepuluh penganjurannya. Sempena sambutan bulan Ramadhan Al- Mubarak program ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim serta semangat gotong royong dikalangan pengurusan dan warga kerja Kampus Kuala Lumpur.
Seramai 200 orang sukarelawan dikalangan kakitangan Kampus Kuala Lumpur daripada pelbagai jabatan, displin dan gred jawatan mengambil bahagian dalam penyediaan bubur lambuk tersebut. Penyediaan bahan-bahan mentah bermula pada 24 Mei 2018 (Khamis) jam 11.00 malam dan kerja-kerja memasak empat periuk bubur lambuk pada malam yang sama dan pada 25 Mei 2018 (Jumaat) mulai jam 8.00 pagi kerja-kerja memasak sembilan periuk bubur lambuk.
Majlis penyerahan bubur lambuk tersebut disempurnakan oleh Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) dan turut hadir Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy, Dekan Fakulti Perubatan dan Prof. Madya Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM yang bermula pada jam 2.30 petang.
Sebanyak 6,000 bungkus bubur lambuk berjaya diagihkan kepada warga Kampus Kuala Lumpur termasuk Kampus Jalan Raja Muda dan Jalan Temerloh. Ianya diperluaskan lagi pengedarannya kepada masyarakat sekitar Bandar Tun Razak, Cheras, Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak serta beberapa buah rumah anak-anak yatim.
Perbelanjaan program ini sebahagian besarnya adalah sumbangan pihak Kampus Kuala Lumpur, fakulti, institut dan juga orang perseorangan. Program ini juga mendapat kerjasama daripada Kelab Wanita Pusat Perubatan UKM.