Majlis Serah / Terima Tugas Jawatan Dekan Fakulti Perubatan UKM

Oleh : Hafizah Mohamad Isa
Foto : Hafizah Mohamad Isa

CHERAS, 18 Mac 2019 – Pengurusan Fakulti Perubatan (FPER), UKM telah mengadakan Majlis Serah / Terima Tugas jawatan Dekan Fakulti Perubatan antara Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy dengan Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali, pada hari ini di Sukmaria, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM). Majlis ini disaksikan oleh Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro-Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) UKM.

Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali dilantik menggantikan Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy sebagai Dekan FPER berkuatkuasa pada 7 Mac 2019. Prof. Dr. Zaleha telah dilantik sebagai Dekan FPER dan Pengarah Pusat Perubatan UKM (PPUKM) mulai 24 Februari 2016 dan sebagai Dekan FPER mulai 15 November 2017 apabila PPUKM dan HCTM distruktur semula dan diletak di bawah pentadbiran Kampus Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis tersebut Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM UKM, Prof. Dr. Sabarul Afian Mokhtar, Timbalan Pengarah (Jaringan, Komunikasi Korporat dan Teknopolis Kesihatan) Kampus Kuala Lumpur UKM, Timbalan – Timbalan Dekan Fakulti Perubatan, Timbalan – Timbalan Pengarah HCTM, Penolong – penolong Dekan, Ketua – Ketua Jabatan dan pegawai – pegawai kanan.

Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali,  dalam ucapan ringkasnya berkata, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan UKM di atas pelantikannya sebagai Dekan Fakulti Perubatan yang baharu dan berusaha menggalas tugas tersebut dengan bertanggungjawab dan berusaha untuk memantapkan lagi pengurusan fakulti serta menaikkan nama baik Fakulti Perubatan UKM ke pesada antarabangsa. Harapan beliau agar semua kakitangan fakulti akan terus memberi sokongan kepadanya dan memperjuangkan usaha yang telah dibuat sebelum ini.

Pihak warga Kampus Kuala Lumpur merakamkan ucapan penghargaan kepada Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy atas segala sumbangan yang telah diberikan sepanjang menggalas tugas sebagai Dekan Fakulti Perubatan UKM dan mengucapkan selamat datang kepada Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali.