Pakar Penglihatan Terhad UKM Terima Anugerah VIWA 2019
Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 15 Mac 2019 – Pakar Penglihatan Terhad iaitu Profesor Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesiahtan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Rokiah Omar menerima Anugerah Venus International Women Awards (VIWA 2019) untuk kategori Distinguished Woman in Health and Medical Sciences (Optometri) di Chennai, India baru-baru ini.
Anugerah tersebut adalah penghargaan kepada beliau atas peranan, sumbangan penyelidikan dan pencapaian dalam bidang Optometri selama 29 tahun perkhidmatannya.
Penyelidikan-penyelidikan yang dilakukannya telah memberi kesan kepada pengurangan rabun penglihatan dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia yang menjadi dasar kepada kanak-kanak untuk menerima pemeriksaan mata di semua Klinik Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 2011.
Beliau yang juga Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UKM, menyifatkan anugerah itu adalah sebagai bonus dalam bekerja selain memfokuskan kepada hasil kerja yang terbaik.
“Saya bekerja bukanlah bermatlamat untuk mendapatkan penghargaan atau anugerah tetapi saya mahu melakukan yang terbaik dan membantu masyarakat,” katanya.
Katanya, hasil penyelidikan pelbagai bidang perlulah diambil berat dan dibangunkan untuk kebaikan kepada masyarakat.
“Hasil yang kita dapat dalam penyelidikan jika tidak disumbangkan kepada komuniti adalah tidak berguna. Dalam apa bidang sekalipun, sumbangan kepada kepada komuniti adalah penting,” tambahnya.
Pada majlis tersebut (VIWA), Prof Datuk Dr Rokiah turut menjadi Tetamu Kehormat dan diberi penghargaan menjadi penceramah utama dalam 4th Annual Women Meet (AWM 2019) dengan tajuk syarahan Prevent of Blindness – Empowering Pre-School Teachers Does it Works?
VIWA adalah penganugerahan kepada wanita profesional yang berjaya memberikan sumbangan besar dalam bidang sains dan teknologi, dilancarkan pada tahun 2016 oleh Centre for Advanced Research and Design (CARD), Yayasan Antarabangsa Venus (VIF), diadakan secara tahunan pada bulan Mac.