Penggantian Komputer Di Kompleks UKM Kampus Kuala Lumpur

Pusat Teknologi Maklumat Kampus Kuala Lumpur (PTM KKL) melalui Unit Perkhidmatan Helpdesk sedang giat menggantikan komputer di kaunter-kaunter klinik, wad-wad, dan jabatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Aktiviti ini bermula pada bulan Disember tahun lepas dengan menggantikan 400 unit komputer model Acer Veriton yang telah digunakan sejak tahun 2009 kepada komputer yang lebih baru iaitu Lenovo Thinkcentre M725S.

PTM KKL juga dalam perancangan untuk menggantikan komputer sewaan yang dijangka akan bermula pada bulan Mac 2020. Penggantian komputer sewaan ini adalah rentetan pertukaran syarikat sewaan yang lama kepada syarikat sewaan yang baru dilantik. Antara lokasi-lokasi yang akan terlibat dengan penggantian computer sewaan ini adalah di Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Fakulti Perubatan UKM.

Penggantian ini merupakan salah satu usaha pihak pengurusan Kampus Kuala Lumpur untuk meningkatkan prestasi dan memberikan mutu perkhidmatan yang terbaik kepada semua pelanggan khususnya kepada para pesakit yang mendapatkan rawatan di HCTM dan juga pelajar-pelajar yang menuntut di Fakulti Perubatan UKM.