Persidangan Kebangsaan Program Keberkesanan Big Data Di Peringkat Hospital Pengajar Universiti
Oleh: Fauzana Binti Hamid
Foto: Hang Jebat Mukthtar Affandi
Putrajaya, 16 Oktober 2019 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM menjadi tuan rumah kepada Persidangan Kebangsaan Pusat Perubatan Akademik Kali Ke-2 di bawah Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia (KHUAM) dengan bertemakan ‘Pendekatan Data Dalam Memacu Pengurusan Hospital’. Persidangan berlangsung pada 15 hingga 17 Oktober 2019 di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada wakil-wakil hospital pengajar, universiti awam dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah hadir ke persidangan ini.
Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin wakil Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia. Berucap dalam majlis, beliau berkata penganjuran persidangan ini adalah sangat penting diadakan setiap tahun bagi membolehkan perkongsian pengetahuan dan pengalaman di kalangan peserta mengenai Best Practice in a Hospital Management. Para peserta juga dapat bertukar-tukar idea, maklumat, pengetahuan dan pengalaman dalam pelaksanaan pengumpulan dan kaedah menganalisa data yang secara tidak langsung dapat melancarkan kelangsungan operasi perkhidmatan di Hospital Pengajar. Beliau juga berharap program dapat memberi manfaat dan maklumat yang berguna kepada semua peserta yang hadir.
Turut hadir dalam majlis YBhg. Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, YBhg. Prof. Dr. Ahmad Hafiz Zulkifly, wakil Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBhg. Ar. Saifuddin Ahmad, ahli Lembaga Pengurusan Universiti Malaya, YM. Prof. Dr. Tuanku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin, Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya, yang juga merangkap sebagai Pengerusi KHUAM, dan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM. Selain itu, wakil daripada Singhealth dan Temasek International Foundation juga hadir untuk menjalankan kerjasama antarabangsa bersama hospital pengajar.