Sambutan Hari Strok Sedunia 2019
Oleh : Noorlaily Abdul Rahim
Foto: Noorashikin Yusof
CHERAS, 29 Oktober 2019 – Seramai 170 orang tetamu yang terdiri daripada bekas pesakit strok, waris dan warga KKL telah menghadiri Majlis Sambutan Hari Strok Sedunia 2019 dengan bertemakan ‘Life After Stroke’. Program ini merupakan anjuran Unit Neurologi, Jabatan Perubatan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan.
Majlis dirasmikan oleh wakil Pengarah HCTM, Prof. Dr. Halim Abdul Gafor, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) HCTM. Turut hadir dalam majlis, Prof. Madya Dr. Norlaila Mustafa, Ketua Jabatan Perubatan HCTM, Prof. Madya Dr. Wan Nur Nafisah Wan Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Strok Sedunia 2019, Encik PallahuddinAbd Ghani dan Pengerusi Kelab Komuniti Ahli Strok Impikan Harapan (Kekasih).
Objektif penganjuran adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai penyakit strok, langkah-langkah pencegahan, dan rawatan kepada pesakit. Dianggarkan lebih kurang 700 orang pesakit strok mendapatkan rawatan di HCTM setiap tahun. Maklumat terbaru daripada World Stroke Organization menyatakan setiap satu daripada empat individu akan mengalami strok dalam tempoh hayat mereka. Di Malaysia, berdasarkan maklumat di Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan strok adalah penyebab kematian ketiga di Malaysia selepas penyakit jantung dan jangkitan paru-paru. Namun begitu, sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan yang ketara pesakit strok dalam lingkungan usia 35-45 tahun. Langkah dan kesedaran awal amat penting untuk mengurangkan peningkatan pesakit strok.
Antara program yang disusun dalam program ini ialah ceramah mengenai pengenalan dan sejarah Unit Neurologi, maklumat Perkhidmatan Thrombolysis Stroke, sesi perkongsian pengalaman bekas pesakit strok dan waris pesakit, ceramah panduan membaca dan memahami label makanan.