Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan

 Universiti Kebangsaan Malaysia

PENGENALAN

Jabatan Psikiatri, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah ditubuhkan sejak tahun 1977 pada mulanya bertempat di Hospital Kuala Lumpur dan kini bertempat di tingkat satu, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur. Sejak awal penubuhannya, jabatan ini telah melahirkan ramai pakar-pakar psikiatri yang berwibawa dan komited terhadap tugas yang diberikan serta telah beroperasi dengan memberikan perkhidmatan klinikal yang terulung untuk pesakit-pesakit yang bukan sahaja dari sekitar Kuala Lumpur, malah dari pelbagai tempat.

Jabatan Psikiatri ini juga bertanggungjawab mengajar pelajar-pelajar prasiswazah dan pascasiswazah dalam bidang perubatan dan kesihatan, yang mana mereka ini sebagai penyambung dalam usaha mengembangkan lagi jabatan agar lebih cekap dan mampu memberi perkhidmatan kesihatan mental yang diperlukan dewasa ini.

Selain itu, jabatan ini menyediakan perkhidmatan psikiatri menerusi klinik pesakit luar, dua wad psikiatri (setiap wad boleh memuatkan 28 pesakit) dan High Dependency Unit yang mempunyai 6 katil untuk pesakit yang memerlukan rawatan rapi. Malah, terdapat dua unit khas yang dinamakan Unit Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja (UPKR) dan Unit Psikiatri Komuniti & Intervensi Psikososial (UPKIP). Sejak 2003, UPKR di bawah jabatan telah mengadakan kursus subkepakaran Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja.

Ahli-ahli akademik di jabatan ini yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Azlin Baharudin terdiri dari enam belas pakar/pensyarah psikiatri serta dua pakar klinikal psikologi terlibat secara aktif dalam kajian-kajian yang dijalankan. Mereka juga telah berjaya menerbitkan banyak artikel di dalam jurnal-jurnal tempatan dan antarabangsa di samping buku-buku yang berkaitan.

Malahan, Jabatan Psikiatri juga telah mendapat Pewartaan Wad Psikiatri di Pusat Perubatan UKM sebagai Hospital Psikiatri di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 dan Peraturan-Peraturan Kesihatan Mental 2010 pada 15 Jun 2010.