BIBLIOTERAPI
Biblioterapi adalah salah satu terapi untuk merawat jiwa dan hati dengan mengguna buku, kata-kata motivasi, kitab suci, lirik lagu, sajak/puisi, filem, foto dan lain-lain. Ia mampu untuk menyokong dan membantu menyembuhkan isu-isu yang mungkin anda alami dalam hidup. BT boleh diguna untuk diri sendiri dan orang lain yang memerlukan bantuan malah ianya mampu mencegah masalah dari menjadi lebih serius. BT boleh diaplikasi kepada semua lapisan umur seperti kanak-kanak, remaja,
dewasa dan warga tua.
Buku atau bahan bacaan berfungsi untuk mengalih orientasi pembaca dan memberi pandangan yang positif sehingga mampu menyedarkan mereka untuk bangun semula dari kedukaan/kerungsingan supaya dapat menjalani kehidupan yang harmonis semula Biblioterapi juga bermaksud “berkongsi buku atau cerita dengan tujuan untuk membantu individu atau kelompok untuk melihat ke dalam masalah emosi dan jiwa”, (Chon,1995). Lebih terperinci lagi
“berkongsi buku atau cerita dapat membantu dalam menyembuh dan menstabilkan emosi dan jiwa”, (Forgan, 2002).
BUKU BIBLIOTERAPI PILIHAN
Ya Tuhan! Bantu Aku Bangkit (HQ814.B434)
Mencintai tidak semestinya memiliki, kadang-kadang Tuhan hanya menemukan demi sebuah pengajaran. Jangan salahkan Tuhan, jangan salahkan takdir. Kerana setiap yang berlaku, pasti terselit hikmah yang indah.Naskhah ini khusus buat wanita yang mencari kekuatan untuk bangkit selepas menghadapi keruntuhan rumah tangga, dan juga sumber inspirasi buat para wanita yang masih berpegang kepada ‘aku bertahan demi anak-anak’, ‘aku malu bergelar janda’ kerana takut akan persepsi negatif masyarakat sekeliling. Pelbagai isu keruntuhan rumah tangga berakhir dengan wanita yang menjadi mangsa. Wanita dikasari, wanita dikejami oleh kaum lelaki yang berstatus suami mahupun hanya sekadar teman.Buku ini akan membantu para wanita untuk bangkit daripada kekecewaan dalam alam rumahtangga. Tuhan hanya sekadar menguji, tidak sesekali membebankan. Buku ini juga mengajar para wanita agar kuat dan tabah dengan setiap dugaan yang datang.
Pelan-Pelan Kayuh (BP188.2.B6684 ki)
Umpama pemakanan, demikian juga ujian. Kalau yang dimakan hanya yang manis saja, kita akan sakit. Dah sakit, terpaksalah cari penawar. Dan penawarnya memang pahit! Sebab itu, antara tanda Maha Baiknya Allah ialah ditimpakan ke atas kita musibah. Hal-hal yang kita tak suka itu, yang kita anggap musibah itu, sebenarnya adalah penawar. Penawar untuk dosa-dosa kita. Penawar untuk keangkuhan kita. Penawar kepada penyakit ‘lupa syurga hingga mencari sempurna pada dunia’. Ya, ‘mencari sempurna pada dunia’ juga adalah sejenis penyakit! Dan kita perlu berubat!
KOLEKSI BUKU BIBLIOTERAPI
BE COOL, Pujuklah Hati 2
Perkongsian kisah yang biasa berlaku terhadap diri, pasangan dan sesiapa sahaja yang tampak sukar, sebal dan pelbagai namun sekiranya diamati ia merupakan kisah ‘semua’ orang. Jika di tangani dan dilihat takdirnya dari mata hati serta fikiran yang positif, semuanya akan jadi mudah dan tenang-tenang sahaja.
Bangkit
Hidup ini perlu kuat, kawan! Sebesar apa pun ujian, harus percaya Tuhan ada dan tidak pernah tinggalkan kita!
Be Strong
Kau gagal, Allah hantar bantuan. Kau luka, Allah sembuhkan. Kau takut apa kalau kau ada Tuhan? Ujian demi ujian akan terus singgah di dalam hidup kita tanpa henti. Ia suatu janji. Kalau yang kita cari adalah ketenangan, maka kita tiada pilihan. Belajarlah mengalah dan akur sahaja kepada semua takdir Allah. Maka insya-Allah, biar sehebat mana gelombang yang datang, kita masih mampu bertenang-tenang. Selamat membaca Be Strong dengan doa daripada penulis agar sedikit perkongsian ini berjaya dihadam, seterusnya membawa anda ke suatu zon kehidupan yang bernama ketenangan. Insya-Allah.
Berani Menjadi Aku
Ia kisah kita! Kisah zaman ‘tak cukup akal’ yang mempamerkan pemikiran yang dangkal. Kisah yang menjadi bukti bahawa satu ketika dahulu kita juga pernah menjadi keliru dan mungkin tersilap memilih sesuatu. Namun, ia kemudiannya menjadi kisah menarik yang telah banyak membantu kita menjadi lebih baik. Banyak ibrah yang boleh diraih daripada sesuatu yang telah menjadi sejarah. Sesuatu yang membawa kita semakin hampir kepada Allah.
Clear
Kalau kita gambarkan pelangi sebagai kebahagiaan, maka kita kena faham satu perkara. Kebahagiaan memerlukan waktu suka dan duka. Kebahagiaan tidak boleh hadir dengan waktu yang kita anggap senang dan gembira saja. Ia juga memerlukan waktu susah, waktu duka, waktu marah dan waktu mengalirkan air mata. Benar. Kedua-dua elemen yang sangat kontra antara satu sama lain sebenarnya saling memerlukan. Rintik air dan cahaya matahari membentuk pelangi. Suka dan duka, itulah juga yang sebenarnya membentuk kebahagiaan kita!
Stay Strong
Apa khabar jiwa kita hari ini? Sudahkah berpuas hati dengan apa yang ada? Sudahkah berasa cukup apa adanya? . Kalau masih belum, seharusnya engkau mula terus mendaki dan mendaki. Berusaha untuk menjadi lebih baik lagi. . Kalau rasa sudah pun berada di zon selesa, seharusnya engkau mula risau. Jenguk hatimu. Apa yang engkau temui di situ? . Adakah seputar cerita tentang engkau, engkau dan engkau? Gaji engkau sudah cukup, kerja engkau sudah bagus, rumah engkau sudah mewah, kereta engkau sudah selesa, jiran engkau sudah baik, itu sudah cukup? . Engkau lupa tuntutan utama hidupmu sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi Allah? Ingatlah, selagi engkau bernafas, inilah tugas yang harus engkau galas tanpa sedikit pun rasa mahu bermalas-malas!
Agar Kau Bahagia
Buku yang bakal membuatkan hati yang sayu kembali segar, Membuatkan hati yang lemah kembali bersemangat, Dan untuk hati yang sedih kembali ceria bahagia. Ramai yang kata: “Tuhan kejam. Kenapa aku? Aku pun teringin nak hidup seperti orang lain. Bahagia.” Sedang mereka merintih menginginkan sesuatu dalam hidup orang lain, mereka tidak sedar.. Berapa ramai orang yang sedang menanti doa mereka dikabulkan untuk mendapatkan sesuatu seperti apa yang kita kecapi. Bersyukurlah. Hanya dengan bersyukur, kita akan merasa tenang. Dan untuk mereka yang sedang mencari sesuatu yang seakan-akan hilang dalam diri, Ini aku hadiahkan, Agar Kau Bahagia.
Bagaimana Menjadi Pemimpin
Buku ini cuba menyelongkar ramuan paling mujarab dari semua sumber ini bagi melahirkan pemimpin luar biasa yang mampu mentransformasi umat dan mengalahkan musuh sehingga lumat: 1. Menerangkan kepimpinan dari sudut pandang Islam yang holistik. 2. Memasyarakatkan kepimpinan supaya setiap orang merasakannya relevan, mudah dan sangat berkuasa. 3. Menggilap mutiara pengajaran daripada kisah kepimpinan para rasul, siri peperangan Nabi Muhammad s.a.w dan pengalaman peribadi penulis sendiri. 4. Memperincikan tips dan teknik yang amat praktikal bagi menguasai kemahiran pengurusan, mempengaruhi dan spiritual. 5. Menjadi manual ringkas kepimpinan bagi menyelesaikan pelbagai masalah kehidupan yang menghimpit.
Aku Bukan Malaikat Obligasi
Buku ini menyentuh tentang hal ehwal dakwah dan tarbiyyah seperti cara untuk menggerakkan dakwah di sekolah dan IPT, penyucian hati dan jiwa semasa ditarbiyyah dan penekanan tentang kewajipan dakwah.
Harapan Masih Ada
Ramai yang dah berputus asa…
Putus asa dalam mujahadah untuk tinggalkan dosa…
Putus asa dalam hubungan keluarga yang semakin keruh…
Putus asa dalam hidup bermasyarakat yangsemakin sesak dalam masalah sosial…Putus asa dalam perjuangan agama yang tak menang-menang…Putus asa dalam berpegang dengan prinsip Islam yang seakan-akan outdated dan tak trending dengan zaman…
Akhirnya manusia memilih untuk terus berada dalam kesesatan,
letih dengan ujian hidup, lelah dengan masalah umat, lesu dengan perjuangan yang panjang.
Namun, mereka lupa dengan janji Allah dan Rasul; Islam akan menguasai suatu hari nanti!
Kerana itu, Harapan Masih Ada!