KEMUDAHAN
Kafe
Sebuah kafe disediakan di Dataran Tun Seri Lanang. Kafe ini menyediakan makanan dan minuman untuk pelanggan yang memerlukannya. Pelanggan boleh makan dan minum di dalam kafe tersebut atau di Dataran Tun Seri Lanang dan tidak dibenarkan membawa makanan dan minuman manis ke dalam perpustakaan.
Anjung Ilmu PTSL
Anjung Ilmu PTSL boleh digunakan oleh semua pelanggan perpustakaan. Kemudahan yang terdapat di sini ialah dua (2) buah bilik perbincangan yang memuatkan lapan (8) orang setiap bilik dan dua belas (12) meja karel yang dilengkapi dengan kemudahan punca kuasa dan WiFi untuk kegunaan pelanggan.
Anjung Pro-Canselor Tun Ahmad Sarji
Anjung Pro-Canselor Tun Ahmad Sarji yang terletak di Aras 4 menempatkan Koleksi Tun Ahmad Sarji yang boleh digunakan oleh semua pelanggan perpustakaan. Menyediakan ruang rujukan yang luas dan selesa, ruangan ini juga sesuai untuk pelanggan yang ingin mengadakan perbincangan. Klik untuk maklumat lanjut.
Ruang 24 Jam Abdul Aziz Shaik Mydin
Ruang ini terletak di Aras 4 bersebelahan Koleksi Rujukan dan boleh juga diakses melalui Jalan Lingkungan Ilmu. Ruang ini dilengkapi dengan kemudahan WiFi dan mempunyai ruang membaca yang selesa. Perkhidmatan percetakan Kwik Print juga disediakan di ruang ini.
Ruang Baca 24 Jam Tun Seri Lanang
Ruang Baca 24 Jam ini terletak di Dataran Tun Seri Lanang. Dataran ini menyediakan ruang membaca terbuka yang luas. Dataran ini juga sesuai untuk tujuan perbincangan kerana ruang membaca di dalam perpustakaan tidak membenarkan pelanggan mengadakan perbincangan kecuali di bilik perbincangan. Peti minuman disediakan di penjuru dataran. Pengguna juga boleh mengakses internet melalui Wi-Fi di ruang ini.
Makmal Latihan
Makmal latihan yang boleh memuatkan 35 orang peserta ini terdapat di Aras 4, Unit Pendidikan Pelanggan. Terdapat juga makmal latihan di siber@ptsl yang boleh memuatkan 40 orang peserta. Kursus Kemahiran Maklumat anjuran PTSL diadakan di makmal ini mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Bilik Diskusi
Terdapat lapan belas (18) buah bilik diskusi yang disediakan iaitu tiga (3) buah di Aras 4, sepuluh (10) buah di Aras 3 dan lima (5) buah di Aras 2. Penggunaan Bilik Diskusi adalah percuma. Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian melalui sistem tempahan bilik diskusi perpustakaan UKM (drbs.ukm.my). Pelanggan boleh mengambil kunci bilik diskusi di kaunter perkhidmatan Aras 4 mengikut lokasi bilik tersebut.
Mesin Pinjaman dan Pemulangan Layan Diri
Perpustakaan menyediakan sebuah mesin pinjaman dan pemulangan layan diri untuk memudahkan pelanggan perpustakaan meminjam dan memulangkan bahan secara layan diri tanpa perlu ke Kaunter Pinjaman dan Pemulangan. Mesin layan diri ini ditempatkan di Aras 4.
Ruang Bacaan
Perpustakaan menyediakan ruang bacaan di semua aras yang boleh memuatkan 1,633 orang pelanggan dalam satu masa.
Bilik Sanggar Ilmu
Kemudahan ini boleh digunakan untuk tayangan dan acara rasmi yang bersesuaian. Bilik ini boleh menempatkan kira-kira 150 orang. Ia terletak di Aras 4, Unit Pendidikan Pelanggan.
Lokar
Perpustakaan menyediakan tiga (3) kaedah sewaan lokar:
- Lokar Layan Diri boleh diguna secara percuma.
- Lokar Bulanan berkunci dengan kadar sewa RM5.00 sebulan dan deposit RM15.00.
- Lokar Harian boleh diguna secara percuma dan pendaftaran perlu dilakukan di Kaunter Pemeriksaan Masuk/ Keluar Aras 4.
kemudahan Mesra OKU
Terdapat pelbagai kemudahan mesra OKU di setiap Aras.
Anjung Qurani
Anjung Qurani terletak di aras 4 berhampiran Koleksi Arab & Tamadun Islam. Ia menempatkan mushaf al-Quran dengan 20 wajah qiraat, al-Qur’an braille dan 5 unit komputer dengan perisian al-Maktabah al-Shamilah. Terdapat juga kemudahan lain seperti glass board, smart TV dan ruang lapang. Pelanggan boleh menggunakan ruangan ini untuk perbincangan, mengakses rujukan digital dan menganjurkan aktiviti bersesuaian.
siber@ptsl
Pelanggan boleh menggunakan perkhidmatan di siber@ptsl untuk mengakses bahan daripada internet termasuk pangkalan data dalam talian dan e-mel. siber@ptsl juga ada menyediakan komputer untuk penaipan dan mencetak kertas projek, tesis dan sebagainya. Pelanggan juga boleh membaca CD-ROM multimedia dan sebagainya yang diperoleh oleh perpustakaan.
Bilik Karel
Bilik Karel disediakan di Aras 3. Terdapat dua (2) cara penggunaan bilik karel. Pertama, bilik karel yang digunakan secara harian. Penggunaannya secara percuma dan urusan pendaftaran dilakukan di Kaunter Perkhidmatan Jurnal, Aras 3. Kedua, bilik karel yang boleh disewa selama sebulan. Kos sewaan ialah RM10.00 dan cagaran RM5.00. Urusan penyewaan dibuat di Kaunter Pemeriksaan Masuk/ Keluar Aras 4.
Surau
Surau Tun Seri Lanang terletak di Aras 2 (luar bangunan perpustakaan). Terdapat surau di dalam premis perpustakaan di Aras 3 berdekatan dengan Mahkamah Moot.
Sudut ISRA
Sudut ini bertempat di Aras 5, PTSL iaitu berhadapan Koleksi Asia Tenggara dan Dokumen. Sudut ini ditaja oleh CIMB Islamic dengan inisiatif bersama Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL), EKONIS, UKM dan juga INCEIF. Merupakan ruang sehenti bagi buku, jurnal, kertas penyelidikan dan seumpamanya dalam bidang ekonomi Islam, Muamalat, Ekonomi halal juga perbankan dan kewangan Islam. Terdapat dua buah komputer yang menyediakan akses percuma (percubaan) bagi pangkalan data ISRA-I-FIKR iaitu yang merangkumi sumber ilmu Ekonomi Islam. Ruang ini juga dijadikan ruang aktiviti bagi para pelajar khususnya pelajar Fakulti Ekonomi & Pengurusan, Fakulti Undang-Undang dan juga Fakulti Pengajian Islam.
Bilik Serbaguna / Seminar
Terdapat tiga (3) buah bilik Seminar dengan kapasiti setiap bilik boleh menempatkan 20 orang, 30 orang dan 50 orang. Manakala sebuah Bilik Serbaguna di Unit Multimedia boleh menempatkan antara 20 hingga 150 orang. Ianya disediakan untuk pelanggan perpustakaan dan sesuai untuk tayangan video dan sebagainya. Mereka yang ingin menggunakannya, boleh membuat tempahan di Kaunter Unit Multimedia, Aras 2.
Bilik Latihan Zainal Azman Rajuddin
Kemudahan ini boleh digunakan untuk tujuan latihan dan acara rasmi yang bersesuaian. Bilik Latihan ini terletak di Aras 2, Unit Multimedia dan boleh menempatkan seramai 40 orang dalam satu masa.
Salinan Bahan Mikro
Perkhidmatan ini disediakan di Unit Multimedia, Aras 2. Pelanggan boleh membuat salinan bercetak atau mengimbas maklumat dari bahan mikrofilem dan mikrofis. Maklumat yang diimbas boleh dicetak terus atau dimuat turun ke “pendrive” pelanggan. Muat turun adalah percuma dan bayaran 0.50 sen dikenakan untuk salinan bercetak. Tesis dan latihan ilmiah tidak boleh disalin cetak atau dimuat turun.
Mesin Pencetak
Pelanggan boleh menggunakan mesin pencetak layan diri yang disediakan oleh perpustakaan dengan menggunakan aplikasi yang dimuat turun ke telefon pintar. Mesin ini ditempatkan di aras 3, 4 dan 5 serta di Ruang 24 Jam Abdul Aziz Shaik Mydin.
Ruang Aktiv
Pusat Pengalaman Kampus Switch untuk pelajar UKM. Ia merangkumi ruang kreatif untuk pelajar melibatkan diri dan meneroka kreativiti diri dengan menggunakan produk Apple terkini. Pelanggan dan kakitangan juga ditawarkan Program Rebat Pendidikan untuk iPad, Mac dan aksesori iPad.
Liputan Wi-Fi
Liputan Wi-Fi disediakan di semua aras di perpustakaan.
Mesin Makanan dan Minuman Layan Diri
Perpustakaan juga menyediakan mesin layan diri di Ruang 24 Jam untuk memudahkan pelanggan makan dan minum.
Hubungi Kami
Perpustakaan Tun Seri Lanang,
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 Bangi, Selangor Darul Ehsan,Malaysia
+603-89213446 – Perkhidmatan Perundingan
019-2045652 – Telegram/Whatsapp
603-89256067 (FAKS)
Email: helpdeskptsl@ukm.edu.my