5 ETIKA PENGGUNAAN MEDIA MEDIA SOSIAL 

 

Kesimpulan daripada penjelasan ini ialah: Setiap orang mestilah menjaga lidah dan tangannya, sama ada dia berkata atau menulis perkara-perkara kebaikan lalu akan diberi ganjaran atas perbuatan baiknya itu, ataupun dia diam dan meninggalkan perkara-perkara keburukan bagi membendung sebarang fitnah atau aib dan sebagainya.

📖Hal ini menepati firman Allah SWT yang bermaksud:

” Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (mencatatnya) “.

📌Surah Qaf ayat 18

” Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:
Barang siapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam ”

📌Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

—————————————————————————————————————————————–

ETIKA PERTAMA/1️⃣ : Tidak menceburkan diri terhadap perkara yang tidak diketahuinya

📖Firman Allah SWT yang bermaksud:

” Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya”.

📌Surah al-Isra’ ayat 36


ETIKA KEDUA/2️⃣ :Tidak berkata atau mengeluarkan pendapat terhadap khabar angin yang akan mendorong kepada fitnah dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

✅ Inilah kaedah yang sering digunapakai oleh musuh-musuh negara dan para pengkhianat anak bangsa. Mereka menyebarkan berita-berita palsu atau memutarbelitkan maklumat yang tidak diketahui sumbernya sehingga sukar untuk mengenalpasti sama ada ianya benar atau palsu. Bahkan mereka juga menambah info-info lain berbentuk gambar atau video bertujuan untuk menjadikannya sebahagian dari maklumat asal seterusnya menyebabkan kesulitan kepada pembaca membezakan maklumat yang betul atau salah.

Tujuan pemalsuan ini berkemungkinan disebabkan faktor politik, sosial, ekonomi atau ketenteraan selain daripada kebencian, dendam dan ingin mengancam keamanan masyarakat❗


ETIKA KETIGA/3️⃣ : Mencegah diri daripada melakukan sindiran dan penghinaan terhadap orang lain sama ada dalam bentuk gambar atau komen kerana menghormati orang lain itu merupakan satu kewajipan di sisi syariat dan moral.

📖 Firman Allah SWT yang bermaksud:

” Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela antara satu sama lain dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

📌surah al-Hujurat ayat 11

Nabi Muhammad SAW juga bersabda yang bermaksud:

” Antara kebaikan islam seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang bukan kepentingan dia”

📌Hadis riwayat Tirmidzi


ETIKA KEEMPAT/4️⃣ : Mengelakkan diri dari menyebarkan sesuatu perkara tentang seseorang terutama perkara yang dituntut syariat untuk menjaganya dan tidak menyebarkannya kepada orang ramai.; seperti aurat, aib dan sebagainya kerana ia terkait dengan perihal penyebaran perkara-perkara keji kepada masyarakat. Ini merupakan suatu dosa yang telah diberi amaran oleh Allah SWT dalam firman-Nya: 📖

” Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat “.

📌surah an-Nur ayat 19

Islam menyatakan bahawa orang yang berkata perkara-perkara yang keji adalah sama dosanya seperti orang yang menyebarkannya kerana kedua-dua golongan ini akan menyebabkan implikasi yang buruk.
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

” Orang yang mengatakan kekejian dan orang yang suka menyebarkannya; dalam dosa yang sama “.

📌Hadis riwayat Bukhari dalam kitab al-Adab al-Mufrad


ETIKA KELIMA/5️⃣ : Menjaga waktu agar tidak membuang masa pada perkara yang tidak berfaedah. Tidaklah sesuai bagi seseorang manusia menghabiskan umurnya untuk berbual-bual di media sosial tanpa memberi faedah kepadanya.

📖 Firman Allah SWT yang bermaksud:

” Dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna”

📌surah al-Mukminun ayat 3

Credit to دار الإفتاء المصرية