IFTAR BERTALAM SEPANJANG RAMADAN DI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA 1444H/ 2023
Hidangan secara bertalam kembali semula tahun ini sebagai juadah berbuka puasa di Masjid Universiti Watan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Seawal jam 5.00 petang sukarelawan dari kalangan pelajar mahu pun staf UKM bertungkus lumus menyiapkan juadah dan menyusun talam-talam di keliling ruang legar Masjid. Hidangan secara bertalam merupakan tradisi di Masjid UKM sehinggakan suasana ini dirindui para alumni UKM bahkan ada yang ingin hadir di hujung minggu bersama keluarga duduk setalam berkongsi memori.
Bermula semester kali ini dan kembalinya pelajar ke kampus, juadah berbuka disediakan untuk 1200-1500 orang (300-370 talam) di mana penambahan atau pengurangan akan dibuat dengan pemantauan secara harian. Juadah berbuka berterusan disediakan sehingga 27 Ramadan diikuti juadah sahur untuk 10 malam terakhir (dengan pendaftaran).
Pusat Islam masih membuka ruang penajaan Ihya Ramadan khasnya juadah berbuka sebanyak RM100 (lot kecil), RM1000 (lot besar) atau RM10,000 (sehari). Para dermawan boleh melaksanakan transaksi secara atas talian di akaun CIMB 98945110502000 seterusnya menghubungi pihak urusetia untuk mendapatkan resit atau hadir ke pejabat Pusat Islam, Masjid UKM untuk membuat pembayaran. Semoga segala sumbangan yang dihulurkan diberkati dan dibalas dengan limpahan kebaikan yang berpanjangan. Amin!