MAJLIS MENGHAYATI NUZUL AL-QURAN PERINGKAT UKM 1445H/2024M

28-03/2024 – Majlis Penghayatan Nuzul Al-Quran UKM 1445H/2024M yang diadakan di Masjid UKM hari ini disambut meriah dengan pelbagai program kerohanian. Majlis ini dimulakan dengan program khatam Al-Quran yang melibatkan warga UKM dan penduduk di sekitar Bangi, penyerahan Sumbangan Wakaf Pembelian Penghadang Ruang Muslimat kepada Pusat Islam oleh Yayasan Canselor bernilai RM30,000, penyampaian Wakaf Tunai Tabung Haji kepada UKM bernilai RM400,000 dan penyampaian bantuan kepada asnaf oleh Unit Zakat dan Hal Ehwal Pelajar. Selain itu, majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan bantuan zakat kepada enam orang pelajar UKM, penyerahan sumbangan dari UKM Holdings Sdn Bhd bernilai RM80,000, penyerahan sumbangan dari Syarikat Sabella untuk program Ihya Ramadan Masjid UKM dan syarikat tersebut juga turut memberi bantuan baju raya kepada enam orang pelajar.
Semua sumbangan yang diterima oleh UKM dengan nilai lebih RM500,000 ini adalah untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan termasuk mahasiswa UKM dan juga komuniti setempat. Majlis yang dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak dan Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman turut dihadiri oleh Pengarah Wilayah Tengah Tabung Haji, Tuan Haji Khairul Azihar Rapar dan semua Timbalan Naib Canselor UKM.
Majlis Penghayatan Nuzul Al-Quran UKM diadakan bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan Al-Quran dalam kehidupan, melahirkan generasi yang bertaqwa dan kasih kepada Al-Quran serta mendidik jiwa supaya sentiasa mendampingi Al-Quran dan dibaca setiap hari. Naib Canselor didalam ucapan beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis ini dan semoga sumbangan serta bantuan yang disalurkan dapat membantu mereka yang memerlukannya.
Sambutan Nuzul Al-Quran ini juga turut diserikan dengan tazkirah Ramadan, Majlis Berbuka Puasa bersama warga UKM dan komuniti setempat serta bacaan tahlil dan Solat Tarawih berjemaah.