Pusat Kebudayaan Universiti

 Universiti Kebangsaan Malaysia

JELAJAH NUSANTARA TEATER RIMBA 2019

Oleh: Maizatul Syafiqah Shahrul Nizam (A168791)
Foto: Abul Munzeer Mohamad Isa, Wynn Syarina, Amar Baharudin

Pada 9 hingga 17 Julai 2019 yang lalu, Kelab Teater Rimba ARTISUKMA (KTR) telah mengadakan Jelajah Nusantara Teater Rimba (JENTERA 2019) ke Indonesia. Seramai 9 orang ahli KTR beserta 2 orang pegawai pengiring telah memulakan penjelajahan di SMP Bina Greha, Bogor.

Program yang turut dihadiri oleh Kepala DINAS Pendidikan Kota Bogor, Bapak Fachrudin SPD, itu bertujuan untuk memperkenalkan seni teater kepada para pelajar sekolah tersebut di samping beramah mesra dengan masyarakat tempatan.

Tujuan utama jelajah ini diadakan adalah bagi memenuhi undangan Pementasan Teater Muzikal Melayu: Mencencang Air yang diadakan di Taman Mini Indonesia Indah, Jakarta. Pementasan yang menggabungkan bakat dari 4 buah negara nusantara—Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura—itu berkisarkan nilai persaudaraan negara-negara serumpun. Pementasan yang berlangsung pada 12 Julai itu turut dihadiri oleh YBhg. Timbalan Naib Canselor UKM, Prof. Ir. Dato’ Othman A. Karim.

Jelajah ini telah diteruskan ke Universitas Pakuan, Bogor di mana sebuah kunjungan hormat kepada Rektor Universitas Pakuan (UNPAK), Bogor. Prof. Dr. H. Bibin Rubini diadakan. Seterusnya, dua buah dialog telah diadakan serentak iaitu; Diskusi Peningkatan Kerjasama Ilmu Pengetahuan & Budaya antara Bahagian Kedekanan Universitas Pakuan dan Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Bicara Seni Teater antara wakil kelab teater kedua-dua buah universiti. Lawatan ke universiti berkenaan telah diakhiri dengan sebuah pementasan teater yang menggabugkan ahli KTR dan Kelab Diksatrasia.

WISATA PUNCAK BOGOR

Jelajah yang berlangsung selama 9 hari ini disifatkan berjaya kerana sarat dengan pelbagai program bermanfaat yang bersifat akademik, kebudayaan serta kenegaraan. Hubungan baik yang dibina bersama aktivis teater serta ahli akademik di institusi pengajian yang dilawati juga dapat dimanfaatkan di masa hadapan.