TAKLIMAT FIRST AID KIT DAN CARDIOPULMONARY RESUSCITATION (CPR) DAN PENGGUNAAN MESIN AUTOMATED EXTERNAL DEFIBRILLATOR (AED) KEPADA STAF BAHAGIAN KESELAMATAN UKM

Pasukan PKU yang diketuai oleh Dr Muhammad Najid telah memberikan taklimat dan praktikal CPR dan penggunaan mesin AED kepada staf Bahagian Keselamatan UKM pada 4 Julai 2024.
CPR adalah satu tindakan bantuan awal bagi memulihkan mangsa yang terhenti pernafasan dengan menggunakan teknik tekanan di atas dada dan bantuan hembusan pernafasan bagi membantu mangsa apabila denyutan jantung terhenti secara tiba-tiba dan mangsa akan mengalami tanda – tanda utama seperti rebah dan tidak sedarkan diri, pernafasan terhenti, dan tiada nadi. CPR ini perlu dilakukan sejurus selepas seseorang itu didapati mengalami denyutan jantung terhenti bagi meningkatkan peluang mangsa untuk diselamatkan sementara menunggu bantuan kecemasan tiba di tempat kejadian.
Mesin AED merupakan suatu alat elektronik yang dicipta untuk digunakan oleh orang awam dan juga petugas perubatan yang berfungsi untuk memberitahu penyelamat tentang keadaan ritma jantung mangsa yang tidak sedarkan diri dan memberikan renjatan elektrik pada jantung apabila diperlukan. Renjatan elektrik jika diberi seawal mungkin selepas mangsa tidak sedarkan diri meningkatkan peluang untuk mangsa diselamatkan.
Justeru itu, CPR dan penggunaan mesin AED jika dilakukan dengan teknik yang betul dan berkesan, mampu untuk menyelamatkan mangsa yang mengalami jantung terhenti. Kesedaran umum untuk mempelajari kaedah melakukan CPR dan penggunaan mesin AED amat penting dan perlu dipupuk dalam masyarakat Malaysia amnya dan warga UKM khususnya.