SYARAHAN UMUM PUSAT SISWAZAH UKM SIRI KE 17/2016: WUJUDKAH SAINS ISLAM?

poster-dato-yusof

Para pelajar pascasiswazah yang dihormati,

Sukacita dimaklumkan bahawa pihak Pusat Siswazah akan menganjurkan Syarahan Umum Siri 17/2016: Wujudkah Sains Islam?.

Untuk makluman Tuan/Puan, Syarahan Umum ini akan disampaikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusof dari Institut Islam Hadhari (HADHARI).

Sila hubungi Puan Rafidah Hassan di talian 03-8921 3100 atau email fida@ukm.edu.my untuk maklumat lanjut.

Untuk pendaftaran sila klik  DI SINI

Butiran program seperti berikut:-

Tarikh : 18 NOVEMBER 2016 (Jumaat)
Masa : 9.00 pagi – 12.00 tengahari
Tempat : Dewan Kuliah Utama, Pusat Siswazah UKM
Bayaran : KEMASUKAN PERCUMA

Jadual Program:

Masa Butiran
9.00 pagi – 9.30 pagi Pendaftaran di lobi Pusat Siswazah UKM
9.30 pagi Ucapan alu-aluan oleh

Pengarah Pusat Siswazah, UKM

9.45 pagi – 11.30 pagi Syarahan Umum oleh Prof. Dato’ Dr. Yusof Hj. Othman
11.30 pagi – 12.00 tengahari Sesi Soal Jawab
12.00 tengahari – 12.30 tengahari Jamuan ringan

LATAR BELAKANG PROF. DATO’ DR. MOHD YUSOF HJ. OTHMAN

Mohd. Yusof Hj. Othman adalah Profesor di Program Fizik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebelum ini beliau adalah Ketua, Jabatan Fizik (1990-94); Timbalan Dekan, Fakulti Sains dan Teknologi (1994-2002); Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi, UKM (2002-07); dan Pengarah Pertama, Institut Islam Hadhari sejak Julai 2007 di universiti tersebut. Beliau mendapat Ijazah Sarjanamuda Sains (Fizik) (1976) daripada UKM, Sarjana Sains (Solid State Physics) daripada Univ. of London (1977) dan PhD (Solar Energy) daripada Univ of Aston, UK (1984).

Prof. Yusof terlibat dalam penyelidikan tenaga keterbaharuan lebih 30 tahun yang lalu. Sumbangan utama beliau adalah dalam kajian sinaran suria, dan sistem suria terma dan fotovoltan. Kajian utamanya adalah dalam mereka cipta pengumpul suria untuk air dan udara panas, sistem pam air suria, sistem fotovoltan tersambung ke grid dan terakhir ini sistem pengumpul fotovoltan terma. Beliau adalah di antara ahli akademik UKM yang membangunkan Kumpulan Penyelidikan Tenaga Suria, UKM dan kemudiannya tertubuh Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan negara (2005), dan beliau juga adalah Setiausaha Pengasas Institut Tenaga Malaysia (1992-2005). Beliau terpilih untuk menjadi ahli majlis World Renewable Energy Network (WREN) sejak 1992. Prof. Yusof pernah menjadi Profesor Pelawat Department of Engineering, University of Reading, UK (1994). Kini beliau adalah Ketua Editor Jurnal Hadhari, Editor Bersekutu the International Journal of Renewable Energy (2005-2010), Lembaga Editor Review untuk Scientific Journal International sejak Julai 2007, pewasit kepada International Journal of Sustainable and Renewable Energy Review, Editorial Board ISESCO Journal of Science & Technology dan International Advisory Board bagi Journal cUlum Islamiyyah. Beliau juga adalah Ahli Panel Majlis Perunding Islam, Jabatan Perdana Menteri (mulai Jun 2014); Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (2015-2018), Pengerusi, Panel Pakar Falsafah Sains DBP (2010-12), Panel Pakar Bidang Sains Fizik DBP (2013-15) dan ahli Jawatankuasa Penerbitan DBP (2012-17). Felo Akademi Sains Malaysia (mulai 2014), Felo Kehormat Universiti Islam Malaysia (2014-15), Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia IKIM (2005-07), Felo Kehormat Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) (2014). Beliau menerima “WREN Pioneer” Award daripada World Renewable Energy Network/Congress (2004) dan ‘outstanding cooperation & support during two decades’ (2010) kerana kegiatannya dalam bidang tenaga keterbaharuan. Beliau juga dijemput untuk mewakili beberapa panel di peringkat kementerian. Beliau juga adalah Ahli Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia sejak 2006, Setiausaha Panel Dakwah bagi Majlis Perunding Islam Malaysia (2008-2011), Ahli Majlis Dakwah Negara (2014-16), Ahli Lembaga Penasihat, Institut Wasatiyyah Malaysia (2013-15). Beliau telah menulis dan penulis bersama lebih dari 350 rencana jurnal, pascasidang, dan seminar bidang tenaga keterbaharuan, fizik, dan pendidikan & falsafah sains. Telah menulis 30 buah buku dalam bidang fizik dan bacaan awam. Telah mendaftar sebanyak 15 paten. Beliau menerima beberapa anugerah dari UKM – Anugerah Perkhidmatan Cemerlang untuk 1990 dan 1993; Anugerah Khas Kreativiti dan Inovasi Kategori Kategori kakitangan akademik (1997); Anugerah Khidmat Masyarakat bagi ahli Akademik (1998); dan Anugerah Khas Penerbitan Akademik (2003). Kementerian Pengajian Tinggi menganugerahkan kepada beliau Anugerah Saintis Cemerlang (2004 & 2005), Kementerian Pendidikan Malaysia menganugerah kepada beliau Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2013 dan Akademi Sains Malaysia menganugerahkan kepada beliau Top Research Scientist Malaysia (TRSM) 2013, Hadiah Penghargaan Karya Ilmiah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia 2015. Beliau juga adalah penerima Darjah Kesatria Mangku Negara (KMN) daripada DYMM Yang Dipertuan Agong (1993), Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (DSNS) daripada DYMM Dipertuan Besar Negeri Sembilan (2008) dan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) dari TYT Dipertua Pulau Pinang (2009). Beliau juga adalah penerima Anugerah Penghargaan Maal Hijrah (1426H-2006) daripada Kerajaan Malaysia, dan Tokoh Maal Hijrah daripada Kerajaan Pulau Pinang (1429H-2008).

Prof. Yusof menerima lapan anugerah rekacipta/inovasi daripada UKM; 13 daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia; 4 anugerah daripada International Exhibition of Inventions, Geneva, Switzerland; 3 anugerah daripada Seoul International Invention Fair, dan 3 anugerah di INPEX 2008 Invention & New Production Exposition, Pittsburgh, USA di atas kajian penyelidikannya sejak1990. Beliau juga adalah penerima Henry Goh Award 2000 untuk Most Environment Friendly Invention 2000; Environmental Protection Prize daripada Swiss Society for the Protection of The Environment in 2001; Special Award daripada Taiwan Inventors Association in Seoul International Invention Fair 2004; The International Federation of Inventor’s Associations (IFIA), Geneva, Switzerland Gold Medal (2008), dan Special Prize from Korea Invention Promotion Association for commending excellent efforts to create invention exhibited at INPEX 2008 Invention & New Production Exposition, Pittsburgh, USA.

SINOPSIS WUJUDKAH SAINS ISLAM?

Dalam peradaban sains yang dipelupori oleh sarjana Barat, agama tidak ada tempat dalam pembangunan sains dan teknologi (S&T). Agama, sastera dan budaya perlu dipinggir, dikesamping atau ditiadakan dalam pembangunan S&T. Natijahnya lahirlah ilmu pengetahuan S&T yang sekular. Dalam peradaban Islam, agama dan budaya merupakan penggerak utama kepada pembangunan S&T. Dalam kajian terkini yang dilakukan di kalangan ahli S&T Melayu/Islam yang senior (berumur antara 56-64 tahun), yang masih berjawatan, aktif menggerakkan kegiatan S&T, mendapati 60% daripada responden selesa dengan S&T sekular yang diamalkan kini. Bagi mereka S&T tidak kena mengena dengan agama, dan mereka berpuas hati kerana tidak mencampuradukkan antara kegiatan S&T dengan agama (Islam). Mereka juga berpuas hati dengan amalan agama mereka (seperti solat, puasa, zakat dan mengerjakan haji) yang mereka lakukan selama ini. 26% mengatakan wujud pertalian antara Islam dengan S&T, tetapi mereka tidak bersedia untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan mengenainya. 10 % mengatakan ada hubungan yang erat antara S&T dengan agama, dan mereka bersedia untuk terlibat dengan perbincangan mengenainya, tetapi tidak bersedia untuk terlibat dengan aktif. Hanya 4% yang mengatakan ada hubungan langsung antara S&T dengan agama, dan mereka bersedia untuk terlibat dengan aktif secara epistemologi untuk membangunkan sains Islam atau sains Tauhidik.

Perbincangan ini akan berusaha untuk melihat sejauhmanakah hubungan S&T dengan agama sebagaimana yang telah dibuktikan dalam peradaban Islam. Sekiranya masa mengizinkan, kita juga akan melihat bagaimana mengembalikan sains Islami/Tauhidi seperti yang digagaskan oleh para ilmuwan sains Islam silam dan kini.

Sekian, terima kasih dan salam hormat.