LAWATAN ZHEJIANG UNIVERSITY OF TECHNOLOGY
4 Februari 2025 – Pusat Sukan UKM dengan berbesar hati menerima kunjungan delegasi dari Universiti Teknologi Zhejiang, China dalam satu sesi lawatan yang berlangsung dengan jayanya.
Lawatan ini disertai oleh tiga wakil dari Universiti Teknologi Zhejiang, iaitu Professor Chen Xiaolei, Professor Wu Di, dan Professor Wang Xin. Delegasi ini telah disambut mesra oleh Pengarah Pusat Sukan UKM, Dr. Nur Shakila Mazalan, bersama pihak pengurusan pusat sukan. Sepanjang sesi ini, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman mengenai perkembangan dan kemajuan sukan di institusi masing-masing, dengan fokus utama kepada pembangunan sukan kriket di peringkat universiti.
Lebih bermakna, lawatan ini turut menyaksikan pemeteraian Letter of Intent (LoI) antara UKM dan Universiti Teknologi Zhejiang, sebagai tanda komitmen dalam memperkukuhkan hubungan strategik serta memperluaskan kerjasama dalam pembangunan sukan kriket. Perjanjian ini dijangka membuka peluang untuk program pertukaran pelajar, latihan kejurulatihan, serta pembangunan akademik dan teknikal dalam sukan kriket.
Lawatan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antarabangsa antara kedua-dua universiti, tetapi juga menjadi platform penting dalam pertukaran ilmu, kepakaran dan pengalaman demi kemajuan sukan kriket universiti ke peringkat yang lebih tinggi.