Latar Belakang Jabatan
Jabatan Radiologi berperanan untuk memberi perkhidmatan radiologi yang bernilai diagnostik di samping mengamalkan perlindungan radiasi berdasarkan Prinsip ALARA (As Low As Reasonably Achievable) kepada pelanggan dan kakitangan. Perkhidmatan yang disediakan adalah merangkumi perkhidmatan radiografi am dan radiografi khusus. Jabatan ini sentiasa komited untuk memberi perkhidmatan 24 jam kepada pesakit terutamanya bagi kes-kes kecemasan yang memerlukan perawatan segera dan kritikal.
…………………………………………………………………………………………………………………………………
Terdiri daripada 9 unit perkhidmatan iaitu Unit Radiografi Am, Unit Fluroskopi, Unit Ultrasound, Unit Pengimejan Payudara, Unit CT Scan, Unit MRI, Unit Intervensi dan Unit PACS yang memberi perkhidmatan kepada pesakit dalam dan luar. Di samping itu, jabatan ini juga memberikan perkhidmatan rundingan radiologi, nasihat klinikal dan persidangan radiologi bersama jabatan lain di PPUKM yang memerlukan khidmat rundingan.
Jabatan Radiologi beriltizam memberi perkhidmatan radiologi yang berkualiti, selamat, berorientasikan pesakit, efisien dan kos efektif. Membudayakan pembelajaran perubatan berterusan, beraspirasi menjadi jabatan yang terkehadapan dalam pendidikan radiologi, penyelidikan dan menjadi Pusat Kecemerlangan yang mempunyai peralatan pengimejan diagnostik tercanggih dalam menyediakan perkhidmatan terbaik dan berkualiti seiring dengan misi dan visi HCTM dan UKM.
Untuk memastikan misi dan visi ini tercapai, Jabatan Radiologi sentiasa berusaha untuk mengekalkan objektif kualiti jabatan berada di tahap yang optimum. Bagi memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) sentiasa dipantau:
- Masa pesakit menunggu untuk menjalani pemeriksaan x-ray dalam tempoh 1 jam tidak kurang dari 90%.
- 90% laporan pemeriksaan khusus dikeluarkan dalam masa 3 hari bekerja bagi pesakit dalam dan 7 hari bagi pesakit luar.
- Jabatan beriltizam untuk mengekalkan dan meningkatkan lagi prestasi pencapaian agar perkhidmatan yang diberikan sentiasa berkualiti dan bertepatan dengan piagam pelanggan.
Jabatan juga sentiasa komited dan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan PPUKM. SPK yang diamalkan adalah berlandaskan kepada MS ISO 9001:2008 dan juga lain-lain SPK bagi memenuhi standard kualiti yang ditetapkan:
- Mewujudkan 12 prosedur utama yang memenuhi standard MS ISO 9001:2008 dan diimplementasikan kepada 9 unit perkhidmatan yang berada di bawah pengurusan Jabatan Radiologi.
- Mewujudkan polisi latihan lanjutan untuk kakitangan.
- MSQH.
- Mewujudkan lapan zon untuk Program 5S.
- Jabatan Radiologi menawarkan perkhidmatan yang berkualiti dan mempunyai banyak modaliti yang berteknologi tinggi:
Hybrid angiography – mempunyai kemudahan seperti Dewan Bedah yang memaparkan imej 3D dan membolehkan kes-kes pembedahan minor dilakukan.
Digital X-ray radiografi Siemens YSIO (R80 generator) – yang pertama di Asia dan kedua di dunia. Wireless mobile detector yang digunakan amat membantu untuk menghasilkan imej yang pantas dan membantu di dalam mengendalikan kes-kes troli.
Prosedur Proctogram di Unit Fluroskopi – PPUKM adalah satu-satunya hospital kerajaan di Malaysia yang menjalankan prosedur tersebut.
MRI Siemens Verio 3 Tesla – modaliti MRI 3 Tesla pertama di Malaysia dan amat berguna dalam pengimejan neuro dan kefungsian otak.
CBCT (cone beam CT Scan) – pengimejan pergigian dalam bentuk 3D untuk pembedahan rekonstruktif intraoral.
Jabatan Radiologi HCTM merupakan hospital pertama di Malaysia yang membangunkan perisian Radiologi Information secara dalaman.
Unit-unit klinikal Jabatan Radiologi
Unit Radiografi Am dan Radiografi Mudahgerak
Unit Ultrasound
Unit CT Scan
Unit MRI (Magnetic Resonance Imaging)
Unit Pengimejan Payudara
Unit Intervensi (Angiografi)
Unit Fluroskopi
Unit PACS dan 3D lab
Unit Pengimejan Dental
Unit Pengimejan Dewan Bedah
Unit Pengimejan Kardiovaskular
Unit-unit pentadbiran dan pengajaran Jabatan Radiologi
- Unit Pentadbiran
- Unit Fizik Perubatan
- Unit Pengurusan Penyelidikan