ROSH-UKM

 SELAMAT BERKERJA DAN BEKERJA DENGAN SELAMAT

Artikel ROSH 001 – Sinaran Mengion

KESELAMATAN SINARAN MENGION

Sinaran (radiation) adalah salah satu bentuk dedahan kepada manusia. Sinaran adalah proses pemindahan tenaga. Bumi menerima tenaga daripada matahari melalui sinaran. Dengan adanya sinaran matahari, kita boleh menjemur kain, tumbuhan boleh menjalankan proses fotosintesis dan pelbagai aktiviti boleh dijalankan. Antara contoh lain bagi sinaran adalah, kita berasa panas apabila berada dengan api kerana tenaga dipindahkan secara sinaran.

Sinaran boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:

  • sinaran mengion
  • sinaran tidak mengion

Sinaran mengion adalah sinaran yang mempunyai cukup tenaga untuk menyingkirkan elektron daripada molekul atau atomnya. Sinaran mengion ini adalah terdiri daripada zarah alfa, zarah beta dan gelombang gama.

Manakala sinaran tidak mengion pula tidak mempunyai tenaga yang cukup untuk menyingkirkan elektron daripada molekul atau atomnya. Sinaran tidak mengion adalah gelombang radio, gelombang mikro, sinaran infra merah, cahaya nampak dan sinaran ultra ungu. Frekuensi dan jarak gelombang bagi sinaran mengion dan sinaran tidak mengion ditunjukkan pada rajah di bawah.

Sinaran biasanya terhasil dari atom yang tidak stabil dikenal sebagai radionuklid. Radionuklid akan membebaskan sinaran dalam proses menjadikan atom tersebut kembali stabil. Antara jenis sinaran mengion adalah seperti berikut:

a) Sinaran Alfa
Sinaran alfa adalah nukleus Helium yang bercas positif dan diwakili oleh simbol α. Sinaran alfa mempunyai kuasa pengionan yang tinggi namun kuasa penembusannya adalah rendah. Sinaran alfa tidak memerlukan perisaian yang khusus, bahkan ia boleh disekat dengan hanya menggunakan sehelai kertas.

b) Sinaran Beta
Sinaran beta adalah elektron yang bergerak dengan kelajuan yang tinggi. Ia bercas negatif dan diwakili simbol nuklid β. Sinaran beta mempunyai kuasa penembusan yang lebih kuat berbanding sinaran alfa. Sinaran beta boleh disekat dengan bahan yang mempunyai nombor atom yang rendah seperti Aluminium.

c) Sinaran Gama dan Sinar-X
Sinaran gama dan sinar-x merupakan sejenis gelombang elektromagnet dan mempunyai cas. Sinaran gama mempunyai kuasa pengionan yang paling rendah tetapi mempunyai kuasa penembusan yang paling tinggi. Sinaran gama dan sinar-x boleh disekat dengan bahan yang mempunyai ketumpatan yang tinggi seperti konkrit dan plumbum.

d) Sinaran Neutron
Sinaran neutron ialah sinaran yang terhasil apabila neutron terkeluar daripada nukleus. Sinaran neutron tidak mempunyai cas. Sinaran neutron boleh disekat dengan menggunakan air dan parafin.

Rujukan : Buku Panduan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan UKM