Pengenalan
ROSH-UKM menyokong agenda Universiti Watan yang sentiasa memastikan perlaksanaan pengurusan risiko Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di UKM melalui pematuhan kepada perundangan dan standard KKP secara berterusan mampu memantapkan pembudayaan persekitaran kerja yang sihat, selamat dan produktiviti kerja melalui pelaksanaan aktiviti berkaitan seperti program kesedaran, pemeriksaan tempat kerja dan mempraktikkan amalan kerja yang selamat dan sihat di kalangan warga. ROSH-UKM bercadang untuk mendapatkan persijilan ISO45001:2018 di UKM Kampus Bangi bagi mewujudkan proses kerja yang lebih tersusun mengikut pematuhan kepada Standard Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
Standard ini akan memberi manfaat yang besar dalam menghapuskan atau mengurangkan kemalangan pekerjaan, tuntutan kos berkaitan pekerjaan dan penyakit pekerjaan yang menjadi beban utama dalam organisasi. Piawaian ISO45001:2018 menyediakan rangka kerja dan sistem pengurusan dalam organisasi seluruh dunia untuk mengurangkan risiko hazad di tempat kerja, meningkatkan keselamatan pekerja dan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan mengurangkan risiko tuntutan kos berkaitan pekerjaan (i.e. SOCSO) serta meningkatkan produktiviti dan semangat bekerja dalam persekitaran yang lebih terjamin.
Standard ISO45001:2018 dibangunkan untuk mencegah kemalangan dan penyakit pekerjaan serta menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat. Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang berkesan dan efisien akan membantu melindungi aset Universiti Watan yang paling berharga iaitu warga UKM dan membantu mencapai kecemerlangan organisasi serta mengurangkan kos operasi melalui pengurangan kos atau kemalangan berkaitan pekerjaan seperti cuti sakit, perubatan dan insurans. ROSH-UKM mengorak proaktif ke arah untuk menaiktaraf Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di UKM.
Skop
Pemberian aktiviti oleh ROSH-UKM dan aktiviti pembelajaran dan pengajaran di makmal Fakulti Sains & Teknologi (FST), Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (FKAB) dan Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK)
Penganugerahan
Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Sistem Pengurusan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (SPKKP) ISO 45001:2018 telah diadakan pada 17 Julai 2023 bertempat di Bilik Senat, Bangunan Canselori, UKM. Majlis telah disempurnakan oleh Tuan Haji Ayub Salleh, Pengarah NIOSH Malaysia merangkap Pengerusi NIOSH Certification Sdn. Bhd. kepada Prof. Ts. Dr. Kadir Arifin, Pengarah ROSH-UKM (mewakili YBhg. Prof. Dato' Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman, Naib Canselor UKM). Turut serta adalah YBhg. Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub, Dekan FSSK, YBhg. Prof. Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab Rahman, Dekan FKAB dan YBhg. Prof. Dr. Mohd Firdaus Mohd Raih, Timbalan Dekan Penyelidikan & Inovasi, FST (mewakili Dekan FST).
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan UKM, Ahli Jawatankuasa SPKKP ISO 45001:2018 UKM, para juruaudit dalaman SPKKP ISO 45001:2018 UKM serta Pegawai-Pegawai NIOSH Certification Sdn. Bhd.