RISIKO KEMATIAN STROK BERDARAH MENINGKAT DI MALAYSIA
CHERAS, 4 Ogos 2023– Kadar kematian akibat strok berdarah atau haemorrhagic stroke dilaporkan sehingga 30 peratus di negara ini menurut kajian terkini.
Menurut Prof. Madya Dato’ Dr. Ainul Syahrilfazli Jaafar, pensyarah dan doktor pakar neurosurgeri dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, dari semua pesakit strok berdarah hanya 12-39 peratus pesakit berupaya untuk pulih sepenuhnya.
“Malah, apa yang lebih membimbangkan, insiden serangan strok berdarah juga semakin kerap berlaku dalam kalangan pesakit yang lebih muda dan lebih kerap menyerang kaum lelaki,” katanya.
Tambahnya, kadar kematian strok berdarah adalah lebih tinggi daripada strok iskemik (tiada bekalan darah)
“Perlu diketahui iaitu kes serangan strok berdarah mencatat kira-kira 19% dalam keseluruhan kes strok di negara ini,” katanya.
Beliau mengulas, faktor hipertensi atau darah tinggi seringkali dikaitkan sebagai penyebab utama bagaimana strok berdarah boleh terjadi.
“Strok berdarah juga boleh berpunca dari gaya hidup dan aktiviti yang tidak sihat seperti merokok, pengambilan alkohol berlebihan, dan faktor pemakanan yang tidak sihat,” katanya.
Beliau turut menegaskan beberapa gejala strok boleh dikenal pasti pada pesakit.
“Tidak kira apa jenis strok, beberapa gejala utama boleh diperhatikan pada pesakit strok seperti sakit kepala, keliru, kelemahan sebelah anggota badan seperti kaki atau tangan,sawan dan koma.
“Sekiranya gelaja ini terjadi, pesakit perlu dihantar segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan dengan segera,” katanya.
Beliau menambah, gejala ini juga boleh dikenal pasti pada keadaan wajah pesakit yang kelihatan jatuh, kemampuan pesakit untuk mengangkat tangan, serta pertuturan pesakit yang jelas atau sebaliknya.
Secara umumnya, rawatan am kepada pesakit strok meliputi bekalan oksigen yang mencukupi serta pemerhatian dan rawatan intensif di unit rawatan rapi, kawalan tekanan darah yang ketat, kawalan tahap gula yang rapi, bantuan pemakanan yang mencukupi dan halangan atau rawatan jangkitan kuman.
“Bagi kes strok berdarah, rawatan khusus adalah seperti melakukan pembedahan untuk mengeluarkan darah beku yang menyebabkan tekanan yang tinggi didalam otak dan menghalang pendaharan daripada berulang lagi.”
Beliau menegaskan penyakit strok perlu dipandang serius dan tindakan pencegahan boleh diambil oleh masyarakat.
“Strok adalah satu penyakit yang serius namun masih boleh dicegah dan dirawat. Pesakit perlu dihantar ke hospital dengan segera bagi mengelakkan kesan yang tidak diingini.”
“Antara kesan buruk akibat penyakit strok yang tidak diingini adalah apabila pesakit terlantar dirumah dan memerlukan penjagaan sepenuh masa. Ini menambah beban sosioekonomi dalam kehidupan pesakit dan juga ahli keluarganya,” tambah beliau lagi.
Strok secara keseluruhan adalahpunca ketiga terbesar penyakit yang menyebabkan kematian di Malaysia.
Strok didefinisikan sebagai sindrom klinikal yang menunjukkan gejala strok secara tertumpu atau menyeluruh dengan jangka masa melebihi 24 jam atau menyebabkan kematian disebabkan oleh patologi salur darah. Strok berdarah adalah pendarahan kedalam otak disebabkan oleh salur darah yang pecah (ruptured).