INDUSTRY COMMUNITY & PARTNERSHIPS – FACULTY OF MEDICINE UKM

SAINTIS MUDA FAKULTI PERUBATAN UKM WAKIL MALAYSIA KE MESYUARAT PEMENANG HADIAH NOBEL DI JERMAN

CHERAS, 22 JUN 2023– Seorang pensyarah dari Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Wong Sok Kuan, terpilih untuk mewakili negara ke mesyuarat 72nd Lindau Nobel Laureate Meeting yang akan berlangsung pada 25 Jun 2023 hingga 30 Jun 2023 di Lindau, Jerman.

Lindau Nobel Laureate Meeting ini merupakan mesyuarat tahunan yang dijalankan oleh Lindau Nobel Laureate Council, bertujuan menyediakan satu landasan untuk memberi pendedahan dan meluaskan jaringan antara saintis terkemuka di peringkat antarabangsa. Mesyuarat tahun ini berpandukan bidang Fisiologi dan Perubatan. Dijangka seramai 600 orang saintis muda dan 40 orang Nobel Laureate akan menyertai mesyuarat ini pada tahun ini.

Adalah difahamkan bahawa hanya lima orang saintis muda dari Malaysia yang terpilih untuk menyertai mesyuarat ini selepas mengharungi proses pemilihan yang kompetitif oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Lindau Nobel Laureate Council.  Lima orang wakil dari Malaysia yang terpilih ialah Dr. Wong Sok Kuan (Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia), Dr. Afifah Mohamed (Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia), Dr. Liyana Azmi (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia), Dr. Norhasmira Mohammad (Fakulti Pergigian Universiti Teknologi MARA), dan Dr. Wong Yin How (Fakulti Kesihatan & Sains Perubatan, Universiti Taylors). Kelima-lima wakil dijangka akan bertemu kira-kira 40 Pemenang Hadiah Nobel dan 600 saintis muda dari seluruh dunia.

Menurut Dr. Wong Sok Kuan, beliau telah terpilih untuk menyertai 70th Lindau Nobel Laureate Meeting pada tahun 2021 yang berlangsung secara dalam talian kerana pandemik COVID-19. Kini, beliau dijemput semula untuk menyertai mesyuarat tersebut secara bersemuka pada tahun ini.

“Saya berasa gembira dan bersyukur kerana berpeluang untuk menjadi salah seorang wakil dari Malaysia. Saya berharap penyertaan saya di mesyuarat ini dapat memberi manfaat kepada kerjaya saya untuk terus cemerlang dalam bidang penyelidikan,” katanya lagi.

Fakulti Perubatan UKM juga mempunyai reputasi yang baik di mana terdapat pensyarah lain turut terpilih untuk menyertai mesyuarat sebelum ini.