INDUSTRY COMMUNITY & PARTNERSHIPS – FACULTY OF MEDICINE UKM

RAKYAT MALAYSIA TERDEDAH PADA RISIKO KEBUTAAN DI TEMPAT KERJA

Semakin ramai rakyat Malaysia kini terdedah pada gangguan penglihatan dan risiko kebutaan di tempat kerja.

Menurut Prof. Madya Dr. Jemaima Che Hamzah, Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan dari Jabatan Oftalmologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kecederaan mata di tempat kerja adalah tinggi lebih-lebih lagi bekerja di kawasan industri.

“Kecederaan yang lazim adalah berpunca daripada habuk dari persekitaran seperti debu, besi, bahan kimia, cahaya kimpalan, percikan bahan kimia, dan objek terpelanting ke dalam mata,” katanya.

Beliau menambah, penggunaan telefon pintar dan komputer yang terlalu tinggi akan menyebabkan mata jadi kering, sakit kepala atau sindrom penglihatan komputer (computer vision syndrome).

“Walaupun bekerja di pejabat, risiko gangguan penglihatan atau kebutaan tetap boleh berlaku.

“Jika tidak ada langkah kawalan, dikhuatiri seseorang individu itu akan mengalami kerosakan mata yang teruk.”

Menurut beliau lagi, tahap kecederaan pula bergantung kepada tahap keterukan dan tempoh tindakan segera yang diambil.

“Antara perkara yang disyorkan adalah memakai pelindung mata untuk melindungi mata pekerja daripada terdedah kepada bahaya”.

Beliau turut memberi contoh di Amerika Syarikat apabila sebanyak 2,000 pekerja mendapat kecederaan mata setiap hari dan lebih 800,000 kecederaan mata terjadi dalam setahun.

“Sayang sekali kerana ramai pekerja yang enggan memakai alat pelindung mata. Mereka berasa tidak selesa dan menganggap penggunaan alat tersebut tidak perlu walupun diberikan oleh majikan,” katanya.

Beliau turut menambah, punca gangguan penglihatan dan kebutaan di Malaysia terdiri daripada katarak (58.6%), retinopati diabetik (10.4%) dan glaukoma (6.6%) mengikut Bancian Mata Kebangsaan 2014.

Beliau juga mengulas masalah penglihatan yang semakin ketara di dunia terutama dalam masyarakat di negara ini disebabkan peningkatan populasi warga emas.

“Masalah kehilangan penglihatan adalah masalah sejagat. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang diterbitkan pada Oktober 2019, terdapat sekurang-kurangnya 2.2 bilion orang di dunia yang mengalami gangguan penglihatan atau buta, di mana sekurang-kurangnya 1 bilion mengalami gangguan penglihatan yang boleh dicegah atau belum sempat ditangani.”

UKM melalui Fakulti Perubatan telah menganjurkan sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2023 dengan tema ‘Love Your Eyes at Work’ di Flat Seri Sabah, Bandar Tun Razak, Cheras, baru-baru ini.

Program tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Majlis itu telah dihadiri lebih 300 penduduk flat berkenaan dengan pelbagai aktiviti dijalankan seperti ceramah kesihatan, saringan kesihatan umum dan kesihatan mata, pemeriksaan cermin mata, konsultasi doktor, dan pameran kesihatan mata.

Hari Penglihatan Sedunia merupakan salah satu program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh Fakulti Perubatan UKM dengan matlamat memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat setempat mengenai pengetahuan asas penjagaan dan kesihatan mata serta faktor kerosakan mata yang boleh dielakkan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Prof. Madya Dr. Jemaima

Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan dari Jabatan Oftalmologi,
Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia
+60 13-330 2722