INDUSTRY COMMUNITY & PARTNERSHIPS – FACULTY OF MEDICINE UKM

SIRIH PULANG KE GAGANG: UKM ANUGERAH GELARAN ALUMNI TERSOHOR KEPADA DR. ZALIHA MUSTAFA, MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

CHERAS, 5 OKTOBER 2023- Fakulti Perubatan UKM menganugerahkan gelaran Almuni Tersohor kepada Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan Malaysia, dalam Majlis Penganugerahan Alumni Tersohor yang diadakan baru-baru ini.

Pengiktirafan itu dibuat bagi meraikan kejayaan dan pencapaian beliau menjawat jawatan tertinggi dalam kerajaan secara khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada UKM khususnya Fakulti Perubatan kerana sudi menganugerahkan gelaran Alumni Tersohor kepada saya. Sememangnya saya berasa amat bangga kerana berpeluang menuntut ilmu dan menimba pengalaman di fakulti ini,” katanya.

Pengiktirafan itu disempurnakan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam majlis tersebut, beliau telah menyampaikan syarahan bertajuk “Reformasi Sistem Kesihatan yang Kalis Masa Hadapan” yang menyentuh pelbagai isu kesihatan masyarakat di negara ini dalam mendepani cabaran masa hadapan.

Beliau juga berkongsi pengalamannya sepanjang bergelar pelajar di fakulti ini sekitar 1983-1989.

“Memang ketara perbezaan dari aspek pembelajaran dulu dan sekarang. Sekarang lebih banyak kemudahan dan kemajuan teknologi pada pelajar untuk dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Majlis ini dianjurkan dengan tujuan menyemarakkan semangat dan memberi inspirasi kepada para pelajar perubatan dalam menempuhi cabaran seharian bergelar graduan di universiti ini.

Dr. Zaliha juga berkesempatan merasmikan ruang Alumni Tersohor yang terletak di Bangunan Praklinikal Fakulti Perubatan UKM, Cheras.

Ruang tersebut memuatkan lima alumni terkemuka dari Fakulti Perubatan yang dipamerkan pada dinding ruang tersebut. Selain itu, gambar para alumni yang lain dipertontonkan kepada orang ramai melalui tayangan multimedia dalam televisyen yang disediakan.

Dr. Zaliha Mustafa adalah wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan. Pelantikan itu berkuat kuasa pada 3 Disember 2022.

Beliau berpengalaman sebagai Setiausaha Politik kepada YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan kini dipilih sebagai Ahli Parlimen Sekijang, Johor Bahru selepas kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Dr Zaliha dilahirkan di Johor pada 28 Jun 1964 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Ibrahim (G) School sebelum meneruskan pengajian di sekolah berasrama penuh di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Kota Bharu.

Pada 1981, beliau memulakan pengajian di Matrikulasi MRSM, Seremban dan meneruskan pengajian di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta berjaya memperolehi Ijazah Doktor Perubatan pada 1989.

Kerjayanya dalam bidang perubatan bermula sebagai doktor siswazah di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Dr. Zaliha juga menimba pengalaman sebagai doktor perubatan di Hospital Daerah Pekan pada 1990 dan Hospital Taiping pada 1991 sebelum menyertai sektor swasta sebagai doktor di Poliklinik Penawar pada 1993.

Beliau mendirikan rumah tangga bersama Dr. Ahmad Adzlan dan dikurniakan empat cahaya mata.

Beliau adalah alumni Fakulti Perubatan UKM yang terkini diberi anugerah tersebut. Penerima-penerima Anugerah Alumni Tersohor sebelum ini adalah Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah (2020), Datuk Dr. Rohaizat Yon (2021), dan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Lokman Saim (2022).

Turut hadir dalam majlis penuh gemilang ini adalah pengurusan tertinggi Universiti Kebangsaan Malaysia, pengurusan Fakulti, pegawai kanan Kementerian Kesihatan Malaysia, rakan alumni beliau, para pensyarah dan pelajar dari Fakulti Perubatan UKM.