Pengikut Millah Ibrahim didakwa

Utusan Malaysia 3 Februari 2016 Dalam Negeri ms7

PENGIKUT MILLAH IBRAHIM DIDAKWA
(Utusan Malaysia 3 Februari 2016)

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Sebanyak 58 individu termasuk 12 wanita dihadapkan ke Mahkamah Tinggi dan Rendah Syariah di sini hari ini atas empat pertuduhan melibatkan ajaran dikenali sebagai Millah Ibrahim@ Abraham.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang berusia antara 20 dan 59 tahun.

Farzlie Rahmat, 40, Hamatun Mezi Wahab, 49, dan Sehadle Sa’aamah, 35, berhadapan dua pertuduhan iaitu cuba menjelaskan doktrin berhubung dengan agama Islam yang berlawanan dengan hukum syarak dengan mencampur adukkan kefahaman kandungan ayat al-Quran (Surah al-Maidah ayat 3) dengan Bible yang dirujuk sebagai Al-Kitab yang dipercayai antara ciri-ciri doktrin di dalam ajaran Millah Ibrahim @ Abraham.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik Sakura Pusat Belia Antarabangsa, No. 1, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, di sini pada pukul 8.32 malam, semalam.

Bagi pertuduhan kedua pula, ketiga-tiga tertuduh pada tarikh, waktu dan tempat sama didakwa mengajar apa-apa perkara berhubung agama Islam berkaitan surah yang sama tanpa mempunyai tauliah.

Pertuduhan pertama dibuat Seksyen 4 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang dibaca bersama Seksyen 47 akta yang sama dengan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 18 bulan atau denda sehingga RM5,000 atau sebatan enam kali.

Pertuduhan kedua pula dibuat mengikut Seksyen 11 yang dibaca bersama Seksyen 47 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 18 bulan atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Nor Azri Baharudin, 48, Mohd. Halimin Mohd. Nasir, 40, dan Mohd. Agus Abu Samah, 39, pula didakwa dengan sengaja membantu dalam satu majlis yang dikendalikan oleh Farzlie, Hamatun Mezi dan Sehadle pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut dibuat mengikut Seksyen 43(c) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 18 bulan atau denda sehingga RM5,000 atau sebatan sehingga enam kali.

Sementara itu, bagi pertuduhan terhadap 52 individu pula, mereka didakwa mengambil bahagian bersama di dalam satu majlis yang dikendalikan oleh Farzlie, Hamatun Mezi dan Sehadle pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 43(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 18 bulan atau denda sehingga RM5,000 atau sebatan sehingga enam kali.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohd. Abdul Karim Wahad dan Hakim Syarie Mohd. Saifullah Hamzah.

Sementara pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Kanan, Zainor Rashid Hassin dan Pendakwa Syarie, Mohd. Hafiz Abd. Hamid.

Mahkamah membenarkan tiga wanita diikat jamin masing-masing RM3,000 dengan empat penjamin yang juga pegawai kerajaan Jusa B manakala selebihnya tidak dibenarkan ikat jamin.

Mahkamah menetapkan 8 Mac ini bagi sebutan semula kes untuk merekodkan pengakuan daripada kesemua tertuduh.

Prosiding yang bermula pada pukul 4.30 petang itu berakhir pada pukul 7.30 malam.

share "ballighū ‘annī walau āyah"Share on print
Print
Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on google
Google
Share on email
Email