CHEM-E-CAR

Chem-E-Car merupakan suatu pertandingan yang memberi peluang kepada pelajar untuk mereka cipta bagi menguji kemampuan dan daya kreativiti di kalangan mahasiswa/ siswi Kejuruteraan Kimia mahupun Biokimia yang meliputi pendidikan STEEM. Program ini juga berkonsepkan pembelajaran secara CDIO (Conceive, Design, Implement and Operate – Memikirkan, Mereka Bentuk, Melaksana dan Mengendalikan) dan pembentukan kemahiran insaniah para mahasiswa/ siswi universiti.

Hasilnya, program ini memberi impak yang positif terhadap mahasiswa/ siswi bagi melahirkan graduan yang berdaya maju secara profesional, berkeyakinan, berkepimpinan, beretika dan berjati diri kebangsaan di persada antarabangsa selaras dengan matlamat pendidikan UKM. Selain itu, melalui program ini, beberapa anugerah telah dimenangi di peringkat Malaysia dan antarabangsa, seterusnya mengharumkan nama baik universiti di persada antarabangsa. Lantaran itu, pendedahan dan pelaksanaan program Chem-E-Car ini juga wajar dikembangkan ke peringkat sekolah. Ini selaras dengan hasrat kerajaan Malaysia bagi meningkatkan kualiti dan minat para pelajar sekolah menengah dalam pendidikan STEEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Persekitaran dan Matematik) bagi menceburi bidang sains dan teknologi.

Dengan adanya pendedahan program Chem-E-Car yang interaktif di sekolah, ianya berkemampuan menyumbang ke arah peningkatan minat pelajar sekolah terhadap pendidikan STEEM dan membentuk pendekatan inovatif dalam kurikulum melalui elemen CDIO serta membentuk sahsiah diri yang cemerlang. Hasilnya, modul program Chem-E-Car yang dikenali sebagai KEMia telah dibangunkan untuk dilaksanakan di peringkat sekolah.