FUN LEARNING MATHEMATICS

Masalah kemerosotan minat murid sekolah terhadap subjek matematik dan sains amat ketara kebelakangan ini. Para pelajar perlu didedahkan tentang kepentingan subjek Matematik dan penggunaannya dalam kehidupan seharian agar mereka dapat menghayati, memahami dan mendalami konsep matematik agar mereka berupaya meningkatkan minat dan pencapaian akademik. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran bertema (P&PT) dalam subjek matematik mengaitkan matematik dalam situasi kehidupan sebenar, iaitu pembelajaran konkrit (objek dan masalah seharian termasuk aplikasi matematik) ke abstrak (pembelajaran simbol dalam matematik, operasi dan teknik).

Kaedah ini berupaya melahirkan pelbagai nilai dalam diri pelajar. Oleh itu, objektif kajian adalah untuk mengkaji keberkesanan kaedah pembelajaran matematik melalui tema, membandingkan pengaruh motivasi instrinsik dan ekstrinsik dan mengkaji kesan faktor kerjasama, usaha dalam meningkatkan motivasi dan keyakinan diri murid dalam subjek matematik. Program latihan guru (TOT) dilaksanakan seusai modul P&PT dibangunkan. Kaedah Profesional Learning Community (PLC) akan digunakan dalam latihan guru. Soal selidik diedarkan kepada peserta yang mengandungi skala likert tujuh titik. Walau bagaimanapun, maklumat yang dipungut daripada data skala Likert adalah terhad, ringkas dan wujud elemen kurang jelas. Oleh itu, analisis konjoin kabur digunakan. Diharapkan nilai-nilai yang diperoleh sepanjang pelaksanaan P&PT ini berupaya meningkatkan keyakinan pelajar terhadap subjek Matematik.