PUSAT KAJIAN PEMBUDAYAAN STEM
LATAR BELAKANG
Pusat Kajian Pembudayaan STEM ditubuhkan hasil daripada penjajaran semula struktur organisasi Fakulti Pendidikan pada tahun 2017 dalam usaha untuk memperkasakan fakulti dalam bidang penyelidikan serta memantap tadbir urus. Pusat ini memfokus kepada pengemblengan dan penyelarasan usaha ke arah pembudayaan STEM dalam konteks menghasilkan suatu masyarakat yang progresif, dinamik, saintifik, dan inovatif berteraskan Sains dan Teknologi. Penyelidikan menjadi teras kepada Pusat Kajian Pembudayaan STEM ini. Dalam memastikan visi dan misi pusat sejajar dengan matlamat dan Pelan Strategik Sains dan Teknologi negara, bidang-bidang keutamaan baru turut ditumpukan dalam skop penyelidikan, pengajaran dan khidmat yang dirancangkan. Bidang-bidang keutamaan tersebut dirangkumkan kepada tiga kluster penyelidikan yang utama iaitu:
i) Pembudayaan STEM dan Kesejahteraan Komuniti
ii) Pembudayaan STEM dan Industri
iii) Pembudayaan STEM dan Urus tadbir
Program Khidmat yang dicadangkan akan menumpukan kepada tiga sasaran utama dalam mewujudkan suatu ekosistem pembudayaan STEM yang mampan:
i) Pelajar
• Program akan menumpukan kepada peningkatan kefahaman konsep yang terlibat dalam kurikulum STEM serta aktiviti-aktiviti yang terarah kepada peningkatan kefahaman konsep STEM yang mampam serta keupayaan menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan pembelajaran STEM seperti Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Pemikiran Rekabentuk (Design Thinking).
• Program untuk pelajar juga turut menumpukan kepada pencerahan tentang perspektif dan laluan kerjaya yang berkaitan dengan STEM melalui program mentor mentee STEM yang berkesinambungan dan lestari.
ii) Guru dan Pentadir Pendidikan
• Program ini mensasarkan peningkatan citra, aspirasi serta amalan pengajaran guru dalam misi pembudayaan STEM. Kursus yang berupa peningkatan profesionalisme ini akan ditawarkan dalam bentuk pakej pembelajaran informal yang menarik yang menekankan amalan reflektif dalam meningkatkan kompetensi guru. Variasi dalam kursus akan turut diwujudkan dalam memastikan peluang yang tersedia luas untuk guru mengisi kelompangan pengetahuan dan kemahiran yang membolehkan mereka memainkan peranan yang berkesan dalam misi pembudayaan STEM.
iii) Masyarakat
• Kumpulan masyarakat ini khususnya ibu bapa dan komuniti akan turut didedahkan dengan elemen pembudayaan STEM yang sesuai dengan konteks dan peranan masing-masing. Usaha koheren ini amat penting dalam memastikan misi pembudayaan yang holistik dan berkesinambungan antara satu sama lain.
VISI
Menjadikan hub pembudayaan dan pemerkasaan STEM melalui penyelidikan yang berimpak tinggi dalam bidang pendidikan STEM yang sesuai dengan zamannya
MISI
Membangunkan suatu repositori dan sistem pengurusan maklumat berteraskan penyelidikan, pengajaran dan khidmat secara interdisiplin, multidisiplin dan transdisiplin yang dapat mempengaruhi polisi dan amalan berkaitan proses pembudayaan STEM