Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin hadir merasmi dan menyampaikan ucaptama pada program Debat Perdana Madani 2023 yang julung kali diadakan di UKM, hari ini.
Dalam ucaptama beliau, YB Menteri menegaskan bahawa Debat Perdana MADANI ini adalah Projek Negara yang memfokuskan kepada penjanaan idea dan buah pandangan yang pelbagai.
Beliau menjelaskan bahawa sebagai sebuah kementerian yang menguruskan bakat, ilmu dan kebijaksanaan watan, Debat Perdana MADANI yang diadakan hari ini adalah saluran untuk segala kelebihan intelektual diangkat dan dikongsikan dengan negara.
Beliau memberi jaminan bahawa segala pengamatan serta perspektif yang dikongsikan oleh semua panel hari ini, bukan sahaja sangat dihargai, tetapi akan diberikan perhatian yang serius.
Debat kali ini menampilkan 10 ahli panel dari pelbagai latar belakang dengan tiga slot utama iaitu Bicara Sejahtera Malaysia MADANI, Pembentangan 3 Panel dan Forum Malaysia MADANI.
Bagi Bicara Sejahtera Malaysia MADANI, slot ini menampilkan bicara santai tentang senario Malaysia MADANI dari sudut sosial dan ekonomi yang menampilkan pakar ekonomi terkenal Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali dari UKM, pakar kajian tamadun Prof. Dato’ Dr. Azizan Baharuddin dari Universiti Malaya (UM) dan pakar kajian sosial Dr. Charanjit Kaur dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Slot ini dimoderatorkan oleh pendakwah terkenal tanah air iaitu Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dari UKM.
Sesi Pembentangan 3 Panel pula menampilkan pakar kajian tamadun kelahiran Turkiye dari Qatar iaitu Prof. Dr. Recep Senturk yang membentangkan tajuk MADANI in The Context of Modernity dan Prof. Dr. Din Syamsuddin yang merupakan Guru Besar Politik Islam Global dari Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah Indonesia, yang membentangkan tajuk Memberi Makna Kepada Sebuah Negara MADANI. Manakala Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh membentangkan Peranan Cendekiawan Dalam Membangun Bangsa MADANI.
Forum Malaysia MADANI dengan tajuk Merealisasikan Negara MADANI: Cabaran dalam Malaysia yang Majmuk menampilkan empat sarjana iaitu Dato’ Dr. Madeline Berma yang merupakan Felo, Akademi Sains Malaysia; Prof. Dr. Mohd Faiz Abdullah, Pengerusi Insitute of Strategic and International Studies (ISIS); Prof. Dr. Khairudin Aljunied dari Jabatan Sejarah UM dan Prof. Dato’ Dr. Sivamurugam Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Program yang dihadiri kira-kira 2,000 tetamu ini turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak dan Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman.
Antara lain yang hadir adalah Pengerusi-pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Ahli-ahli, Naib-naib Canselor dan Rektor, Universiti Awam dan IPTS, Pengurusan Tertinggi dan Pegawai-pegawai Kanan KPT dan UKM.